SEORANG saksi penting dalam siasatan awam dijalankan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke atas kehilangan aktivis Amri Che Mat dijangka didakwa kerana gagal menghadirkan diri.
Panel siasatan diberitahu yang Saiful Afdzan, pemilik restoran Mak Lang di Perlis enggan hadir kerana bimbang berlaku kerugian jika kedainya ditutup.
Panel diberitahu yang Saiful mendakwa melihat penculikan berlaku di seberang restorannya.
Pembantu keluarga Amri, Sheryll Stothard berkata Saiful dipanggil Suhakam tahun lepas.
“Beliau datang pada Januari untuk beri keterangan tetapi tidak dipanggil (untuk beri keterangan) sepanjang hari dan beliau balik.
“Panel siasatan diberitahu yang beliau tidak mahu datang kerana katanya beliau akan kerugian (terpaksa tutup kedai),” katanya selepas pendengaran hari ini.
PEGAWAI Suhakam sudah membuat laporan polis pada 22 Mac di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentuh terhadap Saiful kerana gagal hadir di pendengaran awam itu.
Panel diberitahu yang Saiful dijangka akan didakwa di mahkamah dan kertas siasatan sudah dihantar ke IPK KL.
Ketua Polis Sentul R Munusamy berkata Saiful akan didakwa di bawah Seksten 174 Kanun Keseksaan kerana gagal mematuhi arahan penjawat awam.
“Kami akan keluarkan saman mahkamah kepada Saiful untuk hadiri pendengaran,” katanya.
Amri hilang pada 24 November 2015. Beliau dipercayai diculik sekumpulan lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda yang mengepung keretanya di Kampung Padang Behor, Kangar, Perlis.
Amri dikatakan sedang disiasat kerana didakwa menyebarkan ajaran Syiah.
Suhakam mengadakan siasatan awam ke atas kehilangan Amri, Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isteri, Ruth untuk mengenal pasti adakah kehilangan mereka adalah kehilangan paksa. – 23 Julai, 2018.
Komen