PKR lebih cenderung untuk meningkatkan kebajikan orang Islam dan menggunakan pendekatan Islam yang lebih moderat berbanding PAS yang cenderung kepada pendekatan menghukum, kata calon Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis daripada PKR, Zawawi Ahmad Mughni.
“PKR mahu mempromosi Islam yang boleh diterima semua. Pendekatan moderat yang berbeza dengan PAS.
“Ia berbeza daripada PAS dan bukan untuk saya mengkritik mereka. Mungkin, mereka fikir itu cara yang lebih baik untuk mereka,” kata setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR itu di pusat pilihan raya PKR Sungai Kandis hari ini.
Zawawi menjawab dakwaan PAS yang PKR tidak mempromosi nilai Islam.
“Ambil sahaja contoh RUU355 misalnya. PAS merasakan ada keperluan untuk meluaskan bidang kuasa mahkamah Syariah. Pada dasarnya, kami bersetuju tetapi bukan sekarang masanya,” kata Zawawi yang mempunyai Sarjana Pendidikan dari Universiti Malaya dan Ijazah Arab dari Universiti Al-Azhar Mesir.
Pemimpin berusia 48 tahun itu berkata PAS lebih cenderung ke arah pendekatan menghukum sedangkan PKR mahu membaiki kebajikan rakyat Malaysia dahulu.
Apabila ditanya tentang jemputan Umno kepada PAS untuk menyertai kempennya, Zawawi berkata ia hak mereka.
“Terpulang kepada mereka untuk jemput PAS tetapi saya yakin yang 7,000 penyokong PAS di sini akan undi saya,” kata pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh itu.
Zawawi dilahirkan di Jalan Kebun, ayahnya adalah ketua kampung dan sebatang jalan di kawasan itu dinamakan sempena namanya, Jalan Mughni.
Zawawi berjanji akan menjadikan Sg Kandis sebagai kawasan terbaik negeri sekiranya terpilih.
“Saya mahu mengubah kampung di sini jadi terbersih dan terbaik. Dan saya komited untuk membantu masyarakat melindungi alam sekitar daripada pembuangan sampah haram dan pembakaran (terbuka).”
Katanya, beliau berharap dapat mencapai tiga pendekatan berangkainya- pendidikan dan program kesedaran, pematuhan peraturan dan pelaksanaan undang-undang.
“Amanat Tuhan kepada kita untuk lindungi alam sekitar,” katanya. – 23 Julai, 2018.
Komen