KERAJAAN persekutuan ada tahap siling bagi hutangnya, iaitu ia tidak boleh melepasi 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat pagi ini.
Beliau berkata pada masa dulu, kerajaan tidak pernah melebihi kadar siling itu.
Dr Mahathir berkata kerajaan terdahulu merekodkan hutang beberapa bilion ringgit tetapi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, menanggung hutang melepasi paras siling itu.
“Hutang syarikat itu melepasi paras siling kerana ia tidak terikat dengan siling hutang kerajaan. Ketika ia meminjam wang sehingga RM42 bilion, kerajaan sebagai pemiliknya 100% - perlu bertanggungjawab atas hutang itu.
“Hutang 1MDB contohnya, dikembalikan kepada kerajaan dan Kementerian Kewangan dan akhirnya, hutang itu kini menjadi hutang kerajaan. Itu sebabnya hutang kerajaan sekarang naik. Peraturan tidak dipatuhi ketika pinjaman dibuat.”
Syarikat pelaburan negara 1MDB diilhamkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak. Berbilion didakwa diselewengkan daripada syarikat itu untuk mengayakan beberapa individu tertentu.
Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan Noor Azmi Ghazali (Bebas-Bagan Serai), yang bertanya adakah kerajaan akan menetapkan nisbah hutang negara sebagai petanda kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ahli Parlimen dari Perak itu berkata hutang mungkin bukan petunjuk baik, memetik negara maju seperti Singapura dan Jepun, yang mempunyai nisbah hutang tinggi.
Perdana menteri turut menjawab soalan Ngeh Koo Ham (PH-Beruas), yang mahu tahu adakah kerajaan akan masih membenarkan syarikat kerajaan meminjam wang untuk pembangunan tanpa perlu melalui Parlimen.
Dr Mahathir berkata kerajaan persekutuan akan menanggung hutang besar jika syarikat milik kerajaan membuat pinjaman dan kemudiannya rugi, kerana hutang syarikat perlu diselesaikan oleh kerajaan.
Katanya, pentadbiran sekarang sedang cuba mengurangkan hutang kerajaan sebanyak RM1 trilion dengan menghentikan projek yang “sangat mahal dan tidak berguna”. – 23 Julai, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen