PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, anggota pentadbirannya tidak dapat menyertai persidangan setiap hari yang memakan masa sehari suntuk.
Katanya, menteri dan timbalan menteri berkenaan perlu memberi tumpuan kepada tugas pentadbiran dan tanggungjawab lain di kementerian.
“Mereka tidak boleh lakukannya (hadir setiap hari). Ia tidak praktikal,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
“Mereka boleh hadir (ke Parlimen) sekerap yang mungkin. Tetapi mereka juga mempunyai tanggungjawab yang lain,” katanya lagi.
Katanya, menteri dan timbalan menteri tersebut perlu memberi alasan kukuh sekiranya tidak dapat hadir ke persidangan Parlimen.
“Saya fikir mereka perlu perbaiki (kedatangan) tapi mereka perlu alasan yang sesuai tidak hadir,” katanya lagi.
Beliau diminta mengulas mengenai keluhan pembangkang minggu lalu yang kecewa kerana tiada seorangpun ahli menteri hadir ke Dewan untuk perbahasan pada hari mesyuarat Kabinet.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mempersoalkan barisan hadapan blok kerajaan “kosong” ketika pembangkang membahaskan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada petang Rabu.
Khairy berkata barisan hadapan yang diduduki anggota Kabinet didapati kosong semasa ketua pembangkang Ahmad Zahid Hamidi memulakan perbahasan. – 23 Julai, 2018.
Komen