KERAJAAN bercadang untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk bacaan kali pertama minggu depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata rang undang-undang untuk memansuhkan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 2014 juga akan dapat dibentangkan minggu depan.
Katanya, SST perlu diperkenalkan sebelum dikuatkuasakan pada 1 September.
“RUU SST akan dibentangkan pada masa sama minggu depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.
Langkah itu bagi memenuhi janji pilihan raya Pakatan Harapan.
Baru-baru ini Jabatan Kastam berkata barangan yang dijual di bawah SST akan dikenakan cukai mengikut kategori berlainan sebanyak 0%, 5% atau 10%, dan cukai perkhidmatan ditetapkan sebanyak 6%.
Menurut laman sesawang Jabatan Kastam, perkhidmatan kena cukai termasuklah makanan dan minuman, tarif elektrik, insuran, hotel, kelab dan perjudian.
Dalam isu berlainan, Liew juga mengesahkan yang kerajaan sedang berusaha untuk memansuhkan Akta Anti Berita Palsu 2018.
“Cadangan sekarang adalah penghapusan sepenuhnya. Ia dalam rancangan, saya sudah menyediakan memorandum dan kita akan hantar kepada Kabinet untuk kelulusan,” katanya. – 23 Julai, 2018.
Komen