SIASATAN awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkaitan kehilangan aktivis Amri Che Mat diteruskan hari ini dengan peguam dijangka menyoal balas bekas pesuruhjaya Cawangan Khas (SB) Awaluddin Jadid.
Awal tahun ini, isteri Amri, Norhayati Ariffin mendakwa seorang pegawai kanan dari Bukit Aman mengaku mengetahui penculikan suaminya.
Awaluddin yang tampil memberi keterangan kepada panel untuk kali kedua hari ini menjadi tumpuan apabila beliau tidak dapat menjelaskan kepada panel Suhakam tujuan lawatannya ke Pejabat Mufti Perlis.
Dua minggu lalu, beliau memberitahu panel siasatan yang lawatannya adalah kunjungan hormat kepada Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin.
Bagaimanapun, peguam keluarga Amri, Nizan Bashir menyoal Awaluddin sekiranya lawatan itu adalah kunjungan hormat, mengapa terdapat pembentangan slide PowerPoint dan fail disediakan pasukannya untuk pertemuan itu.
Awaluddin kemudian ditanya mengenai gambar dalam slaid PowerPoint itu yang menunjukkan rumah Amri.
Nizam meminta Awaluddin mengesahkan yang rumah itu adalah rumah Amri dan diakuinya, tetapi beliau juga mendakwa ia pusat Syiah.
Bagaimanapun, selepas didesak berulang kali, Awaluddin berkeras mengatakan ia adalah kunjungan hormat dan bukan taklimat mengenai aktiviti Amri di Perlis.
Amri dituduh disiasat kerana terlibat dalam penyebaran ajaran Syiah.
Beliau hilang pada 24 November 201 selepas dipercayai diculik kumpulan lelaki dalam kenderaan pacuan empat roda yang mengepung keretanya di Kampung Padang Behor, Kangar, Perlis.
Suhakam sedang menjalankan siasatan awam terhadap kehilangan Amri, Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth untuk meneliti sama ada kehilangan mereka adalah kehilangan paksa.
The Malaysian Insight membawakan lintas langsung prosiding hari ini:
12:05pm: Louis bertanyakan Awaluddin apakah tujuannya mengadakan temubual dengan akhbar.
Awaluddin berkata tujuannya adalah untuk mendidik golongan muda supaya berhati-hati dengan Syiah.
Munusamy bertanyakan Awaluddin sekiranya terdapat ajaran Syiah kepada siapakah beliau akan memberi laporan.
Awaluddin berkata, kepada ketuanya.
Panel siasatan ditangguh dan akan disambung esok.
11:50am: Louis bertanyakan Awaluddin tentang pendiriannya, sama ada Syiah dan Amri adalah ancaman keselamatan negara.
Awaluddin berkata mereka tidak memberi tumpuan kepada Amri tetapi kepada Syiah dan mereka juga tidak menyiasat individu.
Pemerhati polis, Ketua Polis Sentul R Munusamy bertanya kepada Awaluddin tentang bidang tugas bahagiannya.
Awaluddin berkata tugas mereka adalah untuk mengkaji dan melakukan tinjauan ke atas organisasi bukan kerajaan dan kumpulan yang menjalankan aktiviti dan ajaran yang bertentangan dengan norma.
11.30am: Louis juga berkata ketika temu bual dengan akhbar itu, Awaluddin berkata jutaan dana datang dari luar negara.
Beliau bertanya dari mana Awaluddin dapat maklumat itu.
Awaluddin berkata ia berdasarkan kepada maklumat risikan bahawa ahli perniagaan Syiah menjalankan perniagaan.
11.15am: Peguam keluarga Amri, Larissa Anne Louis bertanya kepada Awaluddin tentang laporan berita menyatakan terdapat 3 juta Syiah di Malasia.
Katanya, laporan itu juga berkata polis mendakwa mereka semakin berani.
Awaluddin berkata jumlah itu salah dalam laporan akhbar berbahasa Melayu.
Katanya, jumlah itu salah dan terlalu besar.
Awaluddin berkata mungkin terdapat kira-kira 3,000 Syiah di sini.
10:35am: Nizam bertanyakan Awaluddin jika beliau bersetuju yang Perlis Hope adalah badan kebajikan dan adakah mereka menjalankan aktiviti yang sah menurut undang-undang.
Awaluddin berkata beliau tidak bersetuju yang mereka melakukan aktiviti sah di sisi undang-undang.
Nizam bertanya Awaluddin jika Perlis Hope adalah organisasi berselindung untuk menyebarkan Syiah.
Awaluddin menjawab ya.
Nizam bertanya Awaluddin setakat sekarang adakah sesiapa dari Perlis yang didakwa kerana menyebarkan Syiah.
Awaluddin berkata tiada sesiapa yang didakwa.
Nizam bertanya Awaluddin jika beliau memberitahu panel siasatan yang Perlis Hope adalah Syiah.
Peguam itu kemudian bertanya jika Bukit Aman ada menjalankan operasi pemantauan bebas.
Awaluddin menjawab tidak.
Panel siasatan berhenti rehat.
10:25am: Nizam bertanyakan Awaluddin jika penyebaran Syiah dalam rumah adalah ekstremis.
Awaluddin berkata ada fatwa kebangsaan tentang Syiah dan kerja mereka adalah untuk menjalankan pemantauan dan mengumpul maklumat.
Nizam bertanya Awaluddin apakah sumber mendakwa Amri menyebarkan Syiah.
Awaluddin berkata ia berdasarkan maklumat yang disalurkan kepadanya.
Nizam bertanya dari manakah Awaluddin mendapatkan maklumat tersebut.
Awaluddin berkata dari sumber terbuka dan tertutup.
Nizam bertanya adakah sumber itu juga termasuklah Cawangan Khas Perlis.
Awaluddin menjawab ya.
10.15am: Nizam bertanya kepada Awaluddin adakah Asri melihat Amri sebagai Syiah.
Awaluddin berkata itu bukan dalam pengetahuannya kerana tugas jabatannya ialah mengumpul maklumat risikan.
Nizam bertanya Awaluddin adakah ekstremisme dibincangkan ketika mesyuarat dengan Asri.
Awaluddin berkata beliau bercakap dengannya tentang ekstremisme dan isu lain.
Nizam bertanya Awaluddin apakah elemen ekstremisme.
Awaluddin berkata beliau tidak ingat.
9:50am: Nizam bertanya Awaluddin jika Asri memintanya mengambil tindakan ke atas kumpulan Syiah yang ekstremis.
Awaluddin berkata perkara itu bukan dalam pengetahuannya.
Nizam kemudian bertanya Awaluddin bagaimana beliau tidak tahu apa yang diperbincangkan dalam mesyuarat yang dihadirinya.
Sekali lagi, Awaluddin berkata ia bukan dalam pengetahuannya.
9:30am: Bekas pesuruhjaya Cawangan Khas (SB) menyambung keterangan.
Peguam keluarga Amri, Nizam Bashir bertanyakan Awaluddin mengenai keterangan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin pada 12 April lalu.
Nizam berkata, Asri mengatakan tidak ada tindakan diambil kepada Perlis Hope.
Bagaimanapun, menurut Awaluddin, Asri percaya wujudnya unsur ekstremis.
Nizam bertanya Awaluddin apa lagi yang diberitahu Asri mengenai perkara itu.
Awaluddin berkata hanya itu setakat dalam pengetahuannya. – 23 Julai, 2018.
Komen