Rasuah: Pelajar belajar daripada kepimpinan, kata persatuan sivil


Bede Hong

Pengarah Eksekutif Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata kepimpinan yang patut disalahkan bila pelajar universiti melihat rasuah sebagai bukan jenayah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2017.

RASUAH di peringkat tertinggi yang melanda negara ini sejak beberapa tahun lalu mungkin menjadi penyumbang kepada keadaan di mana pelajar universiti merasakan rasuah menjadi amalan yang boleh diterima.

Kaji selidik disiarkan hari ini oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) mendapati sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pelajar universiti awam percaya rasuah diterima secara moral dan bukan jenayah.

Kajian itu yang dijalankan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara juga mendapati satu perlima responden menerima nepotisme dan lebih satu pertiga sanggup mengemukakan tuntutan palsu untuk mendapatkan wang.

“Saya salahkan kepimpinan,” kata Pengarah Eksekutif Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel.

“Orang nampak rasuah berlaku di peringkat tertinggi tanpa sesiapa dihukum. Jadi mereka fikir tidak mengapa untuk melakukan perkara sama,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Cynthia berkata budaya jujur dan integriti hanya boleh ada bila undang-undang dilaksanakan dengan sempurna dan diguna pakai secara saksama oleh institusi tanpa takut atau berat sebelah, sesuatu yang ramai belia lihat kekurangannya.

Kaji selidik IIM yang diadakan baru-baru ini mendapati 35.8% respondennya merasakan menerima hadiah dalam bentuk wang tunai, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan melakukan kerja bukanlah satu bentuk korupsi.

Ia juga mendapati 28.1% percaya tidak salah membawa pulang kelengkapan pejabat seperti thumb drives, dakwat dan kertas untuk kegunaan peribadi.

“Keputusannya amat membimbangkan, kata CEO IIM Dr Anis Yusal Yusoff, menambah pendidikan negara mungkin perlu memikirkan semula.

Presiden Transparency International Malaysia Akhbar Satar berkata keputusan itu sangat buruk bagi masa depan negara.

Pada 2002, UKM menjalankan kaji selidik mengenai tanggapan umum terhadap rasuah di Malaysia dan mendapati 30.5% daripada pelajar universiti yang ditemu bual sanggup mengambil rasuah jika mereka ada kuasa dan peluang.

Kajian itu juga menunjukkan daripada segi nilai dan sikap, 15% daripada responden tidak kisah menawarkan rasuah untuk mendapatkan urus niaga perniagaan.

Pada Januari, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan lebih separuh daripada 2,329 yang ditahan atas kesalahan rasuah sejak 2014 berusia bawah 40 tahun.

“Kebanyakan belia dalam kaji selidik asal kini berada dalam sistem. Dengan keputusan kaji selidik baru-baru ini, ia amat menyedihkan. Saya rasa kerajaan perlu mencari cara menyelesaikan masalah ini.

“Kita tidak sepatutnya melihat keadaan ini di kalangan beliau. Generasi Y akan akhirnya memimpin negara tetapi jika anda ada belia seperti ini yang kata rasuah ok… Saya berharap pemimpin Gen Y akan menjaga anak cucu saya, tetapi nampaknya keadaan amat menyedihkan,” kata Akhtar.

Akhbar berkata ada sebab yang mungkin menyebabkan pelajar berfikiran seperti itu.

“Ia boleh membentuk rasionalisasi (untuk menjustifikasikan pemikiran mereka). Mereka kutuk si pengutuk.

“Mereka berfikir, semua orang buat (langgar undang-undang), bos pun buat, jadi belia mengalih kesalahan itu bila mereka akhirnya turut melanggar undang-undang. Jenayah ialah tingkah laku yang mereka pelajari.

“Mereka juga lihat pada kepimpinan tertinggi. Jika orang percaya jutaan atau berbilion dicuri, jadi mereka fikir apa salahnya ambil stapler?,” katanya.

Pemimpin DAP Zaid Ibrahim menggambarkan keputusan itu sebagai “manifestasi jelas terhadap kegagalan sistem pendidikan kita”.

“Nilai moral di negara ini didefinisikan dan dinyatakan oleh ulama agama dan ahli politik,” katanya menerusi pesanan di Whatsapp kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata pelajar diremehkan oleh skandal yang berulang kali berlaku dalam kerajaan.

“Sebab itu ramai yang tidak menghargai akibat daripada 1MDB,” katanya.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kaji selidik itu “trend baharu yang membimbangkan”.

“Ia menutup kepercayaan yang rasuah perlu dianggap musuh utama negara.

“Menyedihkan bila rasuah dilihat sebagai normal yang baharu,” katanya.

Syed Saddiq berkata sebaik saja budaya rasuah berada di akar umbi, ia mungkin tidak akan mungkin terhakis dari Malaysia. – 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen