PENGINAPAN di hotel mewah, jamuan dengan menteri Kabinet dan mata merit kerana hadir di ceramah khas.
Ini antara habuan yang diberikan kepada pelajar universiti awam yang mudah terpengaruh, seterusnya menanam budaya dan kepercayaan yang korupsi bukan hanya boleh diterima tetapi satu keperluan.
Budaya ini kemudian disahkan apabila pelajar melihat ahli politik, tokoh perniagaan dan pemimpin komuniti terlibat dalam rasuah dan berjaya melepaskan diri daripadanya.
Ini didedahkan pemimpin pelajar kepada The Malaysian Insight selepas kajian dilakukan Institut Integriti Malaysia (IIM) tentang persepsi rasuah dalam kalangan pelajar di tiga universiti awam.
Walaupun majoriti 402 responden mengetahui apa sebenarnya rasuah, kajian itu menemui jumlah membimbangkan yang memikirkan tidak salah untuk menerima hadiah atau meminta ganjaran lebih kerana kerja mereka.
Awang Syazuan Shafiq Awang Jaya daripada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata persepsi mengenai sesetengah tindakan korupsi boleh diterima berdasarkan nilai yang rendah dalam kerja integriti dan kejujuran di kampus.
“Apabila kejayaan diukur berdasarkan kecemerlangan akademik tanpa mengira kos, pelajar belajar yang integriti dan nilai moral kurang penting,” kata setiausaha PKPIM itu.
Katanya, ini berlaku walaupun pelajar mengambil kursus yang mengajar moraliti dan nilai keagamaan.
“Kepercayaan yang ada sekarang ialah kita perlu dapatkan keputusan cemerlang tidak kisahlah kalau kita meniru atau plagiat.”
Ganjaran tertinggi ialah habuan yang diterima kerana menjadi pro pemerintah atau mendiamkan diri tentang isu kampus misalnya yuran tambahan atau fasiliti tidak memuaskan, kata seorang lagi pemimpin pelajar, Anis Syafiqah Md Yusof dari Universiti Malaya (UM).
Misalnya, aktivis pelajar yang pro pemerintah dijemput menghadiri kem latihan istimewa di hotel mewah di mana mereka dapat menghadiri acara jamuan bersama menteri.
“Mereka yang menghadiri perbincangan bertemakan politik seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diberikan mata merit,” kata Anis Syafiqah.
Katanya, budaya ini membentuk kepercayaan yang memihak kepada pihak berkuasa akan memberikan ganjaran dan ia menyebabkan munculnya amalan menawarkan hadiah untuk memperoleh imbuhan lain.
Kajian IIM mendapati 35.8% respondennya merasakan menerima hadiah dalam bentuk wang tunai, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan melakukan kerja bukanlah satu bentuk korupsi.
Lebih daripada 37% juga didapati merasakan tidak salah untuk membuat tuntutan tambahan semasa kerja luar pejabat walaupun penginapan sudah disediakan.
Anis berkata berbanding mereka yang merungut tentang isu universiti seperti yuran atau fasiliti kepada pihak pentadbiran akan dipandang serong.
“Misalnya, jika mereka memohon penempatan pelajar dalam kampus, mereka yang mengadu akan sentiasa berada di kedudukan bawah senarai (yang mendapat penginapan).”
Busuk dari atas
Bekas pemimpin pelajar UM, Fahmi Zainol berkata persepsi pelajar tentang korupsi ialah satu lagi cerminan kepada betapa amalan itu diterima secara meluas dalam masyarakat.
Fahmi berkata pendirian rasmi kerajaan yang ia akan menghapuskan rasuah dan korupsi, realitinya amalan ini masih berleluasa, dan pelajar menyaksikannya.
“Rasuah dianggap biasa. Tidak terlibat dalam korupsi pula dianggap luar biasa. Misalnya, biasa berlaku menggunakan hubungan anda untuk mendapatkan kerja selepas berijazah.
“Kerana inilah amalan melantik ahli keluarga dalam syarikat dianggap boleh diterima,” kata Fahmi, merujuk kepada penemuan IIM.
Lebih 20% responden berkata melantik ahli keluarga dalam jawatan di syarikat atau jabatan boleh diterima.
Satu-satunya cara untuk membasmi kepercayaan ini ialah perang menentang korupsi perlu bermula daripada pihak atasan.
Mereka berkata tidak guna untuk bercakap tentang menghapuskan korupsi apabila skandal seperti 1MDB terus mendominasi tajuk utama berita dan tiada sesiapa yang dihukum kerananya.
Pihak berkuasa berterusan menafikan wujudnya salah laku dalam syarikat sarat hutang itu walaupun wujudnya sabitan jenayah di Singapura kerana penggubahan wang haram dan saman rampasan aset di Amerika Syarikat. – 20 Julai, 2017.
Komen