LAPORAN perlu dibuat terlebih dahulu sebelum tindakan boleh diambil terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang dikaitkan dengan sebuah syarikat yang didakwa terlibat dalam menipu pekerja Nepal, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman.
“Seseorang perlu buat laporan dulu, selepas itu baru saya boleh minta polis untuk siasat,” kata Azis, sambil menambah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mungkin mahu turut menyiasat perkara berkenaan.
“Jika laporan dibuat dengan polis atau SPRM, saya yakin siasatan akan dijalankan,” katanya.
Nepali Times dalam laporannya bertajuk “Kleptocrats of Kathmandu and Kuala Lumpur” menamakan Bestinet Sdn Bhd bersama-sama beberapa syarikat lain yang menerima sokongan ahli politik berpengaruh Malaysia sebagai antara pihak yang meraih keuntungan daripada proses baharu pengambilan pekerja asing dilaksanakan Putrajaya.
Selain Bestinet yang didakwa diuruskan ipar Zahid, Amin Abdul Nor, laporan turut menamakan beberapa syarikat di Kathmandu, Malaysia VLN Nepal dan One Stop Centre (OSC) terlibat dalam penipuan pendaftaran pekerja asing negara itu.
Laporan turut mendakwa yang adik Zahid, Abdul Hakim Hamidi dan bekas menteri dalam negeri Azmi Khalid memiliki kepentingan dalam syarikat berkenaan.
Zahid yang merupakan timbalan perdana menteri juga adalah menteri dalam negeri dalam pentadbiran Barisan Nasional sebelum kalah pada pilihan raya umum lalu.
“Semuanya bermula lima tahun lalu ketika (bekas) menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi memberikan kontrak kepada syarikat swasta (Ultra Kirana Sdn Bhd) yang menghendaki pekerja Nepal memohon visa kerja menerusi syarikat sekutu di Kathamandu- Malaysia VLN Nepal.
“Agensi mengenakan caj sebanyak Rs3,200 (RM118) untuk setiap pekerja Nepal yang mahu bekerja di Malaysia, dan mengutip Rs 1.95 bilion daripada lebih 600,000 pekerja antara September 2013 dan April 2018,” katanya.– 22 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen