MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari memberi jaminan yang jentera kerajaan negeri tidak akan disalahgunakan untuk tunjuan kempen calon PKR Zawawi Ahmad Mughni bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Adun Sungai Tua itu berkata, walaupun Selangor ditadbir Pakatan Harapan (PH), agensi kerajaan negeri tidak akan dilibatkan dalam pilihan raya itu.
“Kami masih boleh guna kereta rasmi, tetapi saya tidak guna agensi (kerajaan negeri) untuk beri duit atau hadiah kepada pengundi.
“Tiada peraturan yang tidak membenarkan kami menggunakan kenderaan rasmi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan bilik gerakan PH untuk PRK Sungai Kandis.
Terdahulu, Amirudin dalam ucapannya berkata beliau tidak akan menyalahgunakan kedudukannya sebagai menteri besar dan pemimpin Pakatan Harapan untuk berkempen bagi pihak Zawawi.
“Apabila saya turun padang, saya adalah ahli kepimpinan Pakatan Harapan dan tidak bendera parti tidak akan dipacakkan dalam majlis anjuran kerajaan.
“Kami ‘gentleman’, tidak seperti mereka,” katanya merujuk kepada Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini didakwa menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen semasa pilihan raya.
PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR, BN dan Bebas.
Ia melibatkan Zawawi, calon BN Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.
PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi menentang calon BN, Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).– 22 Julai, 2018.
Komen