MUHAMAD Yusoff Mohd Noor, wakil rakyat Barisan Nasional Pulau Pinang paling kanan berkemungkinan besar akan dilantik sebagai ketua pembangkang di negeri itu.
Hanya ada tiga Adun pembangkang dalam negeri yang ditadbir Pakatan Harapan itu, dan Yusoff adalah wakil rakyat paling kanan daripada Umno yang menerajui BN.
“Masih belum diputuskan secara rasmi, tetapi ketua pembangkang berkemungkinan besar adalah saya.
“Tunggu sahajalah majlis angkat sumpah Dewan Undangan Negeri bulan depan,” katanya ketika ditemui selepas taklimat negeri mengenai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) untuk Adun dan ahli Parlimen Pulau Pinang di Hotel Jen.
Yusoff yang dikenali ramai kerana perkhidmatan cemerlang dan hubungan baiknya dengan rakyat terpilih untuk penggal kedua selaku Adun Sungai Dua.
Beliau menang kerusi itu dengan majoriti 1,934 menentang calon PAS dan PKR.
Seorang lagi Adun BN yang juga daripada Umno ialah Nor Hafizah Othman untuk kawasan Permatang Berangan, Adun pembangkang ketiga pula daripada PAS, Yusni Mat Piah untuk kawasan Penaga. Nor Hafizah dan Yusni adalah wakil rakyat kali pertama.
Pada PRU12, BN hanya berjaya mengekalkan 11 kerusi negeri susulan tsunami politik 2008, pada PRU13 jumlah itu jatuh kepada hanya 10.
Dan pada PRU14 BN kalah teruk. Mereka kalah di hampir semua 40 kerusi ditandingi kecuali Sungai Dua dan Permatang Berangan yang merupakan kawasan dalam Parlimen Tasek Gelugor. – 22 Julai, 2018.
Komen