Remaja semuda 13 tahun terdedah kepada bahan lucah, kata menteri


Jason Santos

Kajian Keluarga dan Populasi Malaysia Kelima pada 2014 menunjukkkan 35.3% remaja berusia antara 13 dan 24 tahun terdedah kepada pornografi, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2018.

REMAJA semuda 13 tahun terdedah kepada pornografi di Malaysia ketika semakin ramai rakyat Malaysia menggunakan internet, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Kajian Keluarga dan Populasi Malaysia Kelima pada 2014 menunjukkkan 35.3% remaja berusia antara 13 dan 24 tahun terdedah kepada pornografi, katanya.

“Daripada jumlah itu, 60.8% memperolehi bahan lucah dari Internet, sementara 35% menerusi telefon pintar dan 20% daripada DVD atau CD,” katanya pada sebuah seminar anti pornografi di Tuaran, Sabah.

Beliau juga berkata kadar capaian internet negara adalah 81.8% tahun ini.

Dr Wan Azizah turut memetik kajian dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2016 yang mendapati sejumlah remaja di Sabah dan Sarawak sudah terlibat dalam aktiviti seksual ketika dibangku sekolah, 22% daripada mereka menyalahkan bahan lucah yang mempengaruhi mereka.

“Tidakkah ini menakutkan kita? Adakah keluarga Malaysia bersedia mengawal penggunaan gajet?

“Kawalan penggunaan gajet dan internet perlu ditingkatkan.

“Program ini perlu disokong dan kerjasama semua pihak termasuklah individu, badan kerajaan, syarikat swasta, komuniti setempat dan badan bukan kerajaan (diperlukan),” katanya.

Memburukkan situasi, masalah sumbang mahram, penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, seks sebelum nikah dan pornografi menjadi kebimbangan utama dalam negara.

Katanya, sejumlah 4,992 kanak-kanak didaftarkan Jabatan Pendaftaran Negara dilahirkan luar nikah, 1,664 mereka mempunyai ibu bapa bawah umur.

Katanya lagi, di bawah Dasar Keluarga Kebangsaan 2010, pembangunan keluarga adalah berdasarkan pembinaan ikatan kekeluargaan yang lebih kukuh.

“Selari dengan desakan kerajaan, dasar ini akan terus memainkan peranan penting sebagai panduan untuk mengarus perdanakan perspektif keluarga dalam usaha membangunkan dasar dan negara dari segi ekonomi, persekitaran fizikal, politik, kepercayaan dan sains dan teknologi,” katanya. – 22 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Peranan Ibubapa sangat penting didik anak dari kecil dan kena la pantau pergerakan anak2 mereka dan block smua link2 video2 lucah di internet. Kawal pergerakan anak mereka.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan

  • Kerajaan perlu ambil tegas tentang benda ini, jika x dicegah dari awal...habislah budak2 skrg. Sekat semua blog2, video2 dan link2 yang menjurus kepada benda2 lucah. Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) ambil tindakan tegas tentang isu ini, benda ni smua akan merosakkan bangsa dan agama dan masa depan kita.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan