Penguatkuasaan tegas cegah inflasi daripada SST, kata pakar ekonomi


Sheridan Mahavera

Penganalisis berkata SST akan hanya memberi kesan kepada 38% barangan dan perkhidmatan di negara ini, jika dibandingkan dengan kadar sifar GST yang dikenakan terhadap lebih 60% barangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2018.

HARGA tidak akan naik dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selagi penguatkuasaan berkesan dilakukan terhadap pencatutan, kata pakar ekonomi.

Penilaian oleh Ketua Ekonomi Kapital Affin Hwang, Alan Tan Chew Leong itu dibuat ketika perdebatan hangat sama ada rejim cukai baharu itu akan menyebabkan inflasi sebaik saja dilaksanakan bermula September ini.

Kerajaan baharu Pakatan Harapan menetapkan SST pada 5% dan 10% untuk jualan barangan tertentu dan 6% untuk perkhidmatan terpilih.

Tetapi ahli politik pembangkang Barisan Nasional berulang kali mendakwa kadar 10% itu akan membawa kepada inflasi, di mana ia bertentangan dengan janji kerajaan untuk menurunkan harga barangan pengguna.

Tan berkata SST akan hanya memberi kesan kepada 38% barangan dan perkhidmatan di negara ini, jika dibandingkan dengan kadar sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan terhadap lebih 60% barangan.

“Setiap 1% daripada SST akan hanya menjana pendapatan kerajaan RM2 bilion berbanding RM3.5 bilion bagi setiap 1% GST,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.

“SST mempunyai asas sempit. jadi kita tidak menjangkakan inflasi akan naik. Akan ada tekanan terhadap harga tetapi ia akan bergantung pada penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna terhadap pencatutan harga.

“Jadi ia terpulang kepada penguatkuasaan berkesan untuk memastikan SST dilaksanakan dengan baik,” kata Tan.

Pelaksanaan GST yang tidak popular, yang dimulakan oleh BN pada 2015, ialah cukai beberapa peringkat yang membabitkan semua orang dalam rantaian perbekalan sesuatu barangan. Ia dijadikan kadar sifar apabila PH mengambil alih Putrajaya.

Jika diteruskan, GST akan membolehkan kutipan RM44 bilion untuk kerajaan tahun ini.

Sebagai perbandingan SST dikenakan terhadap pengeluar dan pengimport dan dijangka akan mengumpul RM21 bilion.   

Dalam mempertahankan SST, Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkata GST menyebabkan kadar inflasi mencecah 3.1% pada 2015 selepas cukai kontroversi itu diperkenalkan.

Sebelum GST, kadar inflasi pada 1.7% dan 2.1% masing-masing pada 2012 dan 2013.

Selepas kerajaan melaksanakan kadar sifar GST pada 1 Jun, kadar inflasi jatuh kepada 0.8%. – 23 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen