ISTILAH apresiasi dalam Bahasa Melayu menurut Kamus Dewan bermaksud suatu pengiktirafan serta penghayatan nilai terhadap sesebuah hasil kerja atau ciptaan yang bersifat puitis dan indah seperti filem.
Sebagai salah sebuah hasilan seni, filem ternyata mempunyai keupayaan luar biasa dalam menyampaikan niat dan maksud yang diisi dan ditolak keluar melalui garapan visual yang disampaikan oleh seseorang pengkarya.
Filem sebenarnya adalah sebuah hasilan seni seorang intelektual yang kuat bermain dengan minda dan berkemampuan memberi kesan rasa terhadap bukan sekadar perasaan dan jiwa manusia, tetapi membiaskan kuasanya terhadap ketinggian intelektual dalam masyarakat di sekelilingnya.
Antonio Francesco Gramsci yang menjadi besar dengan idea-idea radikal berkenaan pendidikan, intelektual dan teori-teori kuasa hegemoninya pernah berkata: “Semua manusia adalah intelektual, tetapi tidak semua manusia mempunyai fungsi intelektual dalam masyarakat.”
Kenyataan Gramsci itu boleh saja jadi katalis kepada keseluruhan permasalahan yang berakar umbi dalam pandangan dan pemikiran dua kelompok utama pada budaya filem sebagai salah sebuah hasilan seni iaitu kelompok karyawan dan penonton.
Pada 1959, melalui tulisannya Intelektual Dalam Masyarakat Membangun, Syed Hussein Alatas memerihalkan tentang tugasan seorang intelektual. Katanya, seorang intelektual akan menjelaskan ketempangan yang menjadi masalah dalam masyarakat lalu cuba mencari penyelesaiannya.
Dalam keunikan dan kelebihan itu, intelektual akan menghasilkan idea lalu menyebarkannya kepada ahli-ahli masyarakat yang lain, selari dengan fungsi seni yang bergerak dengan massa iaitu memimpin dan memberikan arahan kepada pemikiran komuniti semasa.
Pengkarya hari ini rata-rata hanya tampil sebagai “tukang” yang menyampaikan bahan hiburan berupa fantasi dan angan-angan. Mereka sekadar menjadikan pentas pengkaryaan sebagai periuk nasi tempat cari kenyang dan bukan lagi kanvas buat melukiskan buah-buah idea serta bunga-bunga fikiran.
Pengkarya yang kebuluran wang ganjaran ini membentuk suatu persekitaran kesenian filem yang memandulkan perkembangan fikiran. Mereka sekali gus mematikan budaya intelek untuk memperkatakan tentang keindahan sesebuah apresiasi pada kesenian, khususnya terhadap filem yang seharusnya mencerdikkan dan mencelikkan masyarakat tempat ia dihasilkan dan dipertontonkan.
Tradisi apresiasi filem hari ini tidak lagi mampu menjadi sebagaimana apa yang dibayangkan oleh Antonio Gramsci mahupun Syed Hussein Alatas.
Intelektual dilihat seakan gergasi dari planet lain yang terlalu asing. Golongan kesenian seperti karyawan seakan-akan jadi ejen yang memandulkan pemikiran. Filem-filem yang dihasilkan para karyawan melunturkan tradisi keilmuan sehingga merencatkan budaya apresiasi untuk memperkatakan filem sebagai suatu wadah idea dan wacana pemikiran.
Dalam tradisi kreatif dunia Melayu, karya-karya agung sekian lama memperlihatkan keberanian keintelektualan. Karya-karya agung klasik seperti Misa Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Raja-Raja Banjar atau Hikayat Acheh, melontarkan konstruktif pemikiran sebagai sebuah karya yang mempunyai nilai intelektual untuk diapresiasi.
Malah genre dan bentuk-bentuk intelektualisme yang disampaikan bagi dihadam oleh masyarakatnya meluas terlihat dalam pelbagai genre termasuk peribahasa, pantun, syair, sastera lisan, kisah jenaka serta cerita-cerita penglipur lara.
Seni penceritaan berbentuk sastera yang telah menjalar muncul sebagai sebahagian dari tradisi keilmuan di istana telah diisi dengan rencam pemikiran pengkaryaan dalam mencabar kekuasaan feudal terhadap dunianya (Melayu) sendiri.
Sejarah Melayu melalui cerita alegori memperlihatkan sekian banyak perlambangan serta imejan yang kadang kala bersifat provokatif. Melalui kisah Singapura di Langgar Todak misalnya, perbuatan membandingkan akal seorang anak kecil lelaki dengan seorang pembesar bergelar raja mengimaginasikan ketinggian cita-cita sebuah karya yang kuat elemen intelektualnya.
Begitu juga sebuah lagi karya alegori yang dikisahkan melalui perjalanan rombongan Tun Mamat mengembara meminang Puteri Gunung Ledang. Secara idealis digambarkan melalui suatu peristiwa penolakan tragis yang besar serta cukup memalukan yang digambarkan secara indah dan puitis bagi masyarakat memberikan apresiasi, sebagaimana apa yang disebutkan oleh Syed Hussein Alatas dan Antonio Gramsci.
Dunia apresiasi filem Melayu hari ini jadi kelam dan tenggelam akibat sikap karyawannya sendiri. Karyawan filem Melayu yang meninggalkan kualiti teras dan utama yang seharusnya menjadi tiang penegak sesebuah karya telah diabaikan oleh golongan karyawan sendiri.
Mereka meninggalkan pesan bahawa intelektualisme ramuan utama yang seharusnya ada dalam setiap karya bagi membentuk suatu persekitaran seni filem yang maju dan berkembang.
Menurut Gramsci lagi, “The popular element “feels” but does not always know or understand; the intellectual element “knows” but does not always understand and in particular does not always feel.”
Barangkali inilah yang terjadi apabila kita memisahkan intelektual daripada dunia kreatif filem sebagai seni. Kita akan terus merasai, namun selamanya tidak mampu faham lalu menjelaskan apa yang kita rasai sehingga akhirnya apresiasi itu mati dan filem sebagai seni itu tidak lagi sesiapa nikmati dan hargai. – 22 Julai, 2018.
* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen