Anak kampung jadi kebanggaan orang Kadazan


Jason Santos

Ketua Hakim Negara Richard Malanjum secara rasminya menjawat jawatan itu pada 11 Jun, dan menjadi individu pertama dari Malaysia timur dilantik memegang jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2018.

TIBA-TIBA Kampung Duvanson, sebuah perkampungan kecil masyarakat Kadazan di pinggir Penampang, kira-kira 10km dari Kota Kinabalu, Sabah menjadi perhatian.

Dulu kampung itu pada asalnya terdiri daripada masyarakat petani tetapi kini ramai yang sudah bekerja di pejabat atau profesional di bandar. Dalam tempoh dua minggu lalu, kampung dengan populasi 5,000 penduduk itu bertambah meriah apabila anak kampung itu kini jadi ketua hakim negara.

Richard Malanjum mencipta sejarah di Malaysia apabila menjadi ketua hakim negara yang pertama dari Sabah, secara rasminya pada 11 Jun lalu, menjadikan beliau yang pertama dari Malaysia timur dilantik memegang jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman negara.

Dan di sinilah, di Kampung Duvanson, Malanjum menikmati zaman kanak-kanaknya.

Berjalan masuk ke kampung itu dan bertanya di mana rumah keluarga Malanjum dan penduduk kampung akan menunjukkan ke sebuah rumah kayu dua tingkat di lereng bukit pada 1940. Ia nampak usang sekarang kerana rumah itu kosong sejak beberapa tahun lalu.

Penjaga rumah itu akan datang sesekali untuk mengemasnya.

Rakan dan jiran kepada keluarga itu, James Sitawin menggambarkan Malanjum sebagai seorang yang berprinsip.

“Saya kenal dia sudah lama,” kata Sitawin, 64, seorang pesara yang tinggal beberapa ratus meter dari rumah keluarga Malanjum.

Lahir pada 13 Oktober, 1954, Malanjum datang dari keluarga yang dihormati. Datuknya ialah ketua kampung dan bapanya mendapat latihan perubatan di Singapura sebelum menjadi pembantu doktor.

Malanjum, anak keempat daripada lima beradik. Nani, Ignatius, Veronica dan adiknya, Benedict.

Rumah keluarga Richard Malanjum Kampung Duvanson, sebuah perkampungan kecil masyarakat Kadazan di pinggir Penampang, kira-kira 10km dari Kota Kinabalu, Sabah menjadi perhatian. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Julai, 2018.

Sitawin berkata Malanjum dilahirkan di Tuaran di mana bapanya ketika itu bekerja di jabatan kesihatan di sana.

Beliau berkata sekarang masyarakat Kadazan dan rakyat Sabah secara amnya rasa bangga.

“Kami bangga, tetapi tidak ada sambutan atau upacara keagamaan khas untuk meraikannya. Malanjum belum pulang ke kampung sejak lantikannya,” kata Sitawin.

“Mungkin sekarang dia ketua hakim, dia ada batas dengan orang luar. Mungkin Malanjum adakan majlis tertutup. Saya tidak pasti.”

Abang Malanjum, , Benedict berkata beliau mungkin tidak berpeluang dilantik sebagai ketua hakim jika kerajaan Barisan Nasional (BN) masih berkuasa.

“Sudah tentu kami sangat gembira. Tetapi jika BN menang PRU14, adakah kerajaan persekutuan akan lantik rakyat Malaysia timur ke jawatan tinggi itu? Jangan haraplah,” katanya.

Beliau berkata sudah tiba masanya rakyat Malaysia timur diberi peluang menjawat jawatan tinggi dan bekerjasama bersama pembuat keputusan di negara ini.

Benedict, 64, tinggal di Ulu Putatan, kira-kira 20 minit dari rumah lama keluarganya, berkata dengan kerajaan Pakatan Harapan memegang kuasa, lebih ramai rakyat Malaysia timur yang optimistik dengan masa depan. – 22 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen