Perceraian PAS-Amanah dominasi forum tentang Islam


Sheridan Mahavera

SEPATUTNYA ia forum yang membincangkan masa depan Islam di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Tetapi untuk hampir setengah jam, penonton terpaksa mendengar sesuatu yang kelihatan seperti pasangan bercerai bergaduh tentang siapa yang dapat ambil perabot dan siapa khianati siapa dalam perkahwinan mereka yang sudah berantakan.

Malah, ketegangan antara ahli panel PAS dan Amanah itu menyebabkan moderator acara itu secara bergurau berkata sudah cukup bahan untuk mengadakan forum berasingan tentang perpisahan PAS-Amanah.

Insiden pada 2015 menyaksikan beberapa pemimpin PAS tertentu keluar parti Islam itu untuk membentuk Parti Amanah Negara. Ia berlaku selepas pemimpin-pemimpin ini tewas dalam pemilihan parti PAS.

Perpecahan itu tidak berlangsung dengan baik antara beberapa pemimpin PAS dan ahli mereka. Pemimpin dan ahli Amanah dilabel sebagai “pengkhianat” dan “perosak” dan dituduh bersama DAP.

Di pihak Amanah pula, pemimpinnya menuduh rakan sejawat dalam PAS bekerjasama dengan musuh tradisi, Umno.

Ketegangan itu terserlah jelas pada forum anjuran NGO Islam, Ikram di Shah Alam malam tadi.

Penasihat Amanah Ahmad Awang dan Pengarah Penyelidik PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki saling mengenakan. Kedua-duanya pemimpin kanan dalam parti masing-masing dan berperanan dalam perpecahan itu.

Selepas ucapan ringkas di mana Zuhdi menawarkan perdamaian dan bercakap tentang solidariti umat Islam, Ahmad menolaknya.

Ahmad berkata sehingga hari ini, pusat pengajian Islam miliknya di Semanggol, Perak diboikot oleh rakan-rakan dari PAS.

“Bila kita bercakap tentang solidariti umat Islam, saya terpaksa bangkitkan tentang pengalaman sendiri,” katanya dan menggunakan hampir semua masa yang diperuntukkan padanya dengan mengeluh tentang PAS.

“Saya tidak dibenarkan berceramah di masjid kerana mereka dikawal oleh orang yang kecewa kerana kalah dalam pilihan raya.”

Ahmad turut mengungkit tentang melihat ustaz yang berdoa supaya Amanah musnah.

Bila tiba gilirannya untuk bercakap sekali lagi, Zuhdi mengulas dengan menuduh pemimpin Amanah merampas hartanah yang mereka sumbangkan kepada PAS ketika masih menjadi ahli parti itu.

Zuhdi berkata pemimpin Amanah mengambil semula tadika PAS iaitu PASTI, yang disumbangkan kepada PAS sebelum itu.

“Mereka merampas kerusi dan almari juga. Ini antara perkara yang paling menyakitkan ahli PAS,” kata Zuhdi ketika cuba menjelaskan tentang permusuhan PAS terhadap Amanah.

Zuhdi mendakwa sesetengah pemimpin PAS pada pemilihan parti 2015 bersekongkol dengan DAP untuk menjatuhkan presiden Abdul Hadi Awang.

Ahmad kemudian menggunakan slotnya untuk bersuara dengan menafikan semua perkara itu dan menyatakan bahawa walaupun DAP mempunyai lebih ramai ahli Parlimen berbanding Amanah, tetapi Amanah mempunyai jumlah menteri yang ramai.

Ia fakta yang menolak dakwaan bahawa DAP dominan dalam kerajaan baharu.

Pada ketika ini, moderator Burhanuddin Lukman mencelah dengan berkata pertelingkahan antara dua parti itu sudah cukup untuk satu forum berasingan diadakan.

Ahli panel lain, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki juga secara bergurau merujuk forum itu sebagai pertemuan rekonsiliasi antara dua parti berkenaan.

Ketika forum itu berakhir, Zuhdi dan Ahmad saling meminta untuk mesyuarat dengan pemimpin daripada parti masing-masing diadakan.

Ahmad berharap beliau akan dapat bertemu lagi dengan Hadi sementara Zuhdi minta untuk bertemu bekas mentor yang kini Timbalan Penasihat Umum Amanah Abdul Ghani Samsudin. – 22 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kalau saling tuduh menuduh dan ungkit mengungkit sampai bila pun tak kan capai objektif yang dirancang.. sama2 lah perbetulkan apa yang salah dan sama2 perkasakan agama

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan