BN cuba kaedah kempen Pakatan di Sungai Kandis


Chan Kok Leong

Barisan Nasional (BN), yang dianggap 'underdog' dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, akan bergantung kepada penggunaan teknologi dan media sosial dalam kempennya, kata Ketua Perhubungan Umno Annuar Musa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2018.

BARISAN Nasional (BN), yang dianggap “underdog” dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, akan bergantung kepada penggunaan teknologi dan media sosial dalam kempennya, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Kini, parti pembangkang itu tidak mempunyai sumber atau kelebihan untuk memancing undi seperti yang pernah dinikmati mereka sebelum ini setelah kalah Pilihan Raya Umum 9 Mei.

Bercakap kepada The Malaysian Insight semasa penamaan calon semalam, Annuar ditanya sama ada BN akan menggunakan pendekatan ceramah seperti yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) ketika gabungan itu menjadi pembangkang sebelum ini.

BN mempertaruhkan Lokman Noor Adam dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan guru agama Zawawi Ahmad Mughni dari PKR dan calon bebas K Murthy, yang merupakan pesara kerajaan.

“Kami sudah merangka strategi kami dan akan mengujinya dalam pilihan raya ini. Ia tidak semestinya melalui penganjuran ceramah,” kata Annuar.

Kaedah baru BN akan “memaksimumkan sentuhan pengundi di peringkat akar umbi”, tambahnya.

Beliau berkata penggunaan teknologi membolehkan partinya menyampaikan mesej kepada rakyat memandangkan BN kini kehilangan jentera kempennya setelah kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sebagai sebuah parti politik, kita seharusnya dapat membina kekuatan parti sama ada dengan atau tanpa jentera kerajaan,” kata Annuar.

Kaedah itu pertama kali diuji dalam dialog yang menampilkan Lokman dan Ketua Umno Selangor Ismail Sabri serta disiarkan secara langsung di laman Facebook UmnoOnline, semalam.

Moderator program berkenaan adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno Tun Faisal Ismail Aziz, yang juga merupakan bekas panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Dalam kempen PRU14, salah satu strategi yang digunakan PH adalah dengan mengadakan ceramah mega di kerusi panas seperti di Johor dan Putrajaya, dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook. Kaedah itu mampu menarik jutaan penonton dalam talian.

Kaedah ini membolehkan PH menyebarkan mesejnya walaupun mengalami kekangan sumber.

Annuar, yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata, walaupun kini menjadi pembangkang, ia sebenarnya memberikan kelebihan kepada BN.

“Kami boleh kata apa sahaja kepada kerjaaan.”

Annuar berkata BN tidak akan menumpukan kempen dari rumah ke rumah bagi menarik undi kerana kaedah itu tidak sesuai untuk kawasan separa bandar dan bandar seperti Sungai Kandis.

“Lebih-lebih lagi, berjumpa rakyat ketika mereka keluar bekerja menghadkad skop kerja kita,” tambahnya.

Ia adalah PRK pertama selepas PRU14. Kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya Shuhaimie Shafie pada 2 Julai.

Pada PRU lalu, Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya untuk PRK Sungai Kandis adalah Datuk Bandar Shah Alam Ahmad Zaharin Mohd Saad.– 22 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • apa sahaja yang dilakukan parti UMNO diharapkan dapat mengembalikan semula kepercayaan orang ramai terhadap parti itu.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan