Putrajaya perlu usaha keras tarik pelancong asing, kata persatuan


Noel Achariam

Malaysia antara negara yang menyaksikan penurunan kedatangan pelancong asing pada suku pertama 2018, kata Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Tan Kok Liang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2018.

MALAYSIA antara negara yang menyaksikan penurunan kedatangan pelancong asing pada suku pertama 2018, kata Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Tan Kok Liang.

“Berlaku sedikit penurunan dan ia tidak ada kena-mengena dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Ia secara asasnya bermaksud yang kerajaan dan pihak berkepentingan harus bekerja keras untuk menarik pelancong,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tan berkata antara cara yang boleh dilakukan kerajaan untuk mempertingkatkan industri pelancongan adalah dengan menawarkan kadar tiket penerbangan yang kompetetif, melakukan lebih banyak pemasaran di luar negara dan memudahkan permohonan visa.

“Mereka (kerajaan) harus lihat aktiviti apa yang mereka boleh lakukan untuk mempromosi industri ini.

“Mereka juga harus lihat apa yang kurang dan memperkembangkan infrastruktur serta sektor perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pelancong.”

Kedatangan pelancong asing ke Asia Tenggara turut berkurang, tambah Tan.

Singapura menyaksikan penurunan kedatangan pelancong asing ke negara itu sebanyak 18.3% pada suku pertama 2018, iaitu 3,407,443 berbanding 4,170,976 pada 2017.

Walaupun mengalami penurunan, rekod kedatangan pelancong asing dari China terus bertambah, sekali gus tertinggi.

Pada suku pertama tahun ini, terdapat 1,008,998 pelancong asing dari China, berbanding 735,618 pada tempoh sama 2017.

“Ini sebabkan oleh pemasaran media sosial di China yang mempromosikan Malaysia.”– 21 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen