Sebat tidak boleh dijadikan sebahagian sistem keadilan jenayah, kata Suhakam


Low Han Shaun

Hukuman sebatan di khalayak ramai diamalkan di Banda Aceh, Indonesia yang mana menurut Suhakam hukuman itu melanggar hak asasi manusia.– Gambar EPA, 19 Julai, 2017.

HUKUMAN sebat tidak boleh dijadikan sebahagian daripada sistem keadilan jenayah kerana tiada potensi pemulihan, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) merujuk kepada langkah Kelantan memperkenalkan pelaksanaan hukuman sebat secara terbuka .

Pengerusi Suhakam, Razali Ismail yang turut menyatakan hukuman sebat itu kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan martabat berkata ia tidak boleh dipraktikkan tanpa mengira sama ada ia diputuskan mahkamah sivil atau syariah.

“Hukuman sebat dalam apa cara sekalipun melanggar larangan penyeksaan mutlak dalam undang-undang antarabangsa dan ia dilarang dalam perjanjian hak asasi manusia antarabangsa yang dipersetujui Malaysia,” kata Razali dalam satu kenyataan.

Jadi, Kelantan tidak berhak menggunakan peruntukan undang-undang negara untuk membenarkan mereka menjalankan hukuman sebat secara terbuka, kata Razali lagi.

“Suhakam turut menasihatkan agar perundangan Islam yang dijalankan di peringkat negeri perlu mematuhi kewajipan hak asasi manusia antarabangsa.

“Negeri seperti Kelantan tidak boleh memohon peruntukan undang-undang negara untuk membenaran ketidakpatuhan mereka kepada undang-undang antarabangsa,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut menggesa Kelantan dan Putrajaya memansuhkan perundangan yang melanggar piawaian hak global.

“Kerajaan Persekutuan juga perlu memastikan hak asasi manusia dihormati di seluruh negara tanpa mengira  tadbir urus dalaman setiap negeri.

Pada 12 Julai lalu, Kelantan meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

RUU itu juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguatkuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan,

Pindaan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.  – 19 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen