Ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pegawai kanan Zakat Pulau Pinang (ZPP) didakwa menerima rasuah dan menyalahgunakan jawatan mereka daripada kontraktor di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.
CEO Azman Abdul Samat, 50, didakwa dengan tiga pertuduhan kerana menerima rasuah dalam bentuk jam tangan mahal dengan kedudukan sebagai penjawat awam di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.
Beliau didakwa menerima jam tangan Bonia Tesoro bernilai RM700 daripada pemilik MNI Venture, Ros Suryati Alang di rumahnya di Permatang Rambai, Permatang Pauh pada 2010; dan jam tangan Roscani Paris bernilai RM750 daripada pemilik Safa Murni Enterprise, Zaiyusri Ibrahim di kedai makanan berhampiran ZPP di Bukit Mertajam pada 2015.
Azman juga didakwa di bawah undang-undang yang sama kerana menerima jam tangan Tissot Touch bernilai RM2,000 daripada pemilik Al Global Trading, Ashri Ismail antara 2011 dan 2015 di pejabatnya di Bandar Perda, Bukit Mertajam.
Ketiga-tiga individu yang memberijam tangan, dikenali tertuduh melalui urusan kerja rasmi.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti dan Pengurusan Asnaf ZPP, Mohd Wardi Ramli, 34, menghadapi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai penjawat awam.
Sekiranya sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Beliau didakwa menggunakan kedudukannya di ZPP apabila mencadangkan Al Global Trading membekalkan cadar dan selimut pada harga RM10,240 dengan menyampaikan bidaan bertarikh 26 Oktober 2015 kepada Mohd Syukri Ibrahim, bagi kepentingan dirinya sendiri.
Wardi juga didakwa menggunakan kedudukannya memohon dan mengesyorkan Al Global Trading dipilih sebagai pembekal 1,480 anak ayam dan Dedak Gold Coin 501 (50kg) bernilai RM4,842 di Bandar Perda, Bukit Mertajam pada 11 November tahun lepas.
Kemudian tiga hari kemudian, beliau didakwa memohon dan mengesyorkan syarikat yang sama sekali lagi membekalkan ZPP produk pertanian Dedak Starter dan Dedak Grower dengan nilai RM6,000.
Kedua-dua lelaki itu meminta perbicaraan di depan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.
Beliau membenarkan Azman diikat jamin RM1,500 bagi setiap pertuduhan, dan menetapkan 21 Ogos untuk sebutan semula kesnya.
Sementara Wardi pula, hakim membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan, dan menetapkan 14 Ogos untuk sebutan.
Azman diwakili Mohamed Reza Rahim manakala Wardi diwakili Hadi Mulyana Citrawijaya Suyadi. Pendakwa SPRM Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri membuat pendakwaan.
Pada Mei, SPRM menahan beberapa pegawai kanan ZPP dan kontraktor dalam operasi khas Ops Miskin untuk menyiasat dakwaan penyelewengan yang membabitkan dana zakat bernilai jutaan ringgit.
Pengarah SPRM negeri, Abdul Aziz Aban dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal menunjukkan mereka yang terlibat menyalahgunakan dana zakat dengan menganjurkan program dengan wang sebelum membahagikan keuntungan.
Beliau dilaporkan berkata seorang pegawai atasan yang bersama ZPP sejak 1995, didakwa menerima barangan berharga, wang, cek daripada kontraktor dan pembekal sebagai balasan kerana memberi mereka projek tertentu. – 19 Julai, 2017.
Komen