‘Bangsar bubble’ punca pergerakan sivil gagal ubah masyarakat, kata Wan Saiful


Melati A. Jalil

Kegagalan pergerakan masyarakat sivil menyebarkan agenda perubahan adalah kerana ia hanya tertumpu kepada kawasan bandar dan tiada usaha membawa agenda itu ke kawasan pendalaman, kata Wan Saiful Wan Jan. – Gambar EPA, 21 Julai, 2018.

KEGAGALAN untuk keluar dari zon keselesaan bandar atau “Bangsar bubble” adalah sebab mengapa pergerakan masyarakat sivil tidak berupaya menyebarkan idea perubahan dengan meluas, kata Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Pergerakan masyarakat sivil sepatutnya membawa isu penting seperti perubahan pembiayaan politik ke kawasan pendalaman di mana budaya penaungan politik lebih berakar umbi.

“Kita perlu memastikan pergerakan masyarakat sivil buat kerja mereka supaya tidak ada tekanan kepada politikus untuk buat kerja kebajikan, supaya politikus boleh buat kerja hakiki mereka, iaitu menggubal undang-undang (dan dasar),” katanya.

Bekas CEO Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) itu berkata budaya imbuhan dan habuan disuburkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menyebabkan rakyat mendekati politikus untuk meminta pelbagai jenis bantuan termasuklah bantuan kewangan.

“Ini adalah kerana pergerakan masyarakat sivil, termasuklah saya sendiri ketika berada dalam pergerakan masyarakat sivil gagal mengubah masyarakat,” katanya pada sebuah forum mengenai perubahan pembiayaan politik anjuran G25 di Bukit Kiara Equestrian & Country Club, Kuala Lumpur.

“Kita selalu sangat anjurkan majlis sebegini di Bukit Kiara, kita tak pernah terfikir pun nak buat majlis atau perbincangan sebegini di Pendang atau Arau atau mana-mana kawasan pendalaman,” katanya.

Wan Saiful menyertai Bersatu pada Mac lalu dan bertanding di Pendang, Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-14 tetapi kalah. Beliau hanya meraih 14,901 undi berbanding calon Umno (20,728) dan 26,536 yang dikutip calon PAS.

Katanya, politikus perlu menyeimbangkan tuntutan pergerakan masyarakat sivil dengan tuntutan pengundi.

“Kita asyik bercakap tentang perkara yang perlu dibuat kerajaan tetapi kita tak sentuh realiti (rakyat) akar umbi.

“Bagus sebenarnya jadi idealistik tetapi sebaik sahaja anda berurusan dengan realiti sebenar, anda cepat membesar dan itulah cabaran yang saya depani dalam dua bulan pertama saya sertai politik dan bersedia untuk bertanding.

“Saya serta merta (menyedari) yang ada dunia lebih luas berbanding ‘Bangsar bubble’,” katanya.

Tambahnya lagi, pergerakan masyarakat sivil bukan hanya perlu meletakkan kebertanggungjawaban kepada kerajaan Pakatan Harapan tetapi juga berani untuk melobi penduduk luar bandar.

“Jika kita benar-benar komited untuk perubahan, datang dan tolong kami didik rakyat di luar sana, supaya pada pilihan raya umum akan datang, mereka akan kata ‘saya tak akan undi politikus yang bayar bil elektrik saya’.”

Beliau juga berkongsi pengalaman tentang kos menjalankan kempen pilihan raya, berkata beliau menghabiskan RM189,000 untuk kempennya. Wang itu digunakan untuk bahan kempen seperti t-shirt, bendera serta menyewa rumah dan dua kenderaan Toyota Hilux dan membayar pekerja.

“Bila anda bertanding di kawasan yang sumber pendapatan penduduknya adalah daripada menanam padi atau menoreh getah, anda perlu hargai mereka bila anda buatkan mereka tak boleh buat kerja harian mereka.

“Getah sekerap dijual pada harga RM1.80 sekilo, dan anda dapat RM180 untuk 100kg. Untuk dapat 100kg, anda perlu bekerja selama seminggu. Jika hujan, mereka tak ada duit. Jadi jika anda ambil mereka untuk naikkan bendera kempen, anda perlu hargai masa mereka (kerana) mereka tak boleh bekerja.

“Anda perlu beri pampasan kepada mereka dengan beli makanan, minuman, penginapan dan semua ini perlukan duit.” – 21 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen