PUTRAJAYA perlu merangka pelan jangka panjang bagi pendapatan kerajaan daripada terus bergantung kepada dividen dan hasil jualan minyak, kata pakar ekonomi.
Ia dilihat perlu susulan keputusan kerajaan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan mengurangkan puluhan bilion pendapatan kerajaan.
GST, yang diperkenalkan pada April 2015, ditetapkan pada kadar sifar bermula 1 Jun dan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula pada 1 September.
Bagi SST, kerajaan mencadangkan kadar 5% dan 10% dikenakan untuk cukai jualan, manakala 6% untuk cukai perkhidmatan, sama seperti sebelum pelaksanaan GST.
SST tidak akan dikenakan terhadap semua jenis barangan dan perkhidmatan, sekali gus dijangka mampu mengawal harga barangan. Bagaimanapun, kerajaan hanya mampu mengutip RM21 bilion tahun ini, berbanding RM44 bilion jika pelaksanaan GST tetap diteruskan.
“Kita semua tahu yang SST akan mengutip hasil yang kurang berbanding GST. Kerajaan sendiri mengakuinya. Ia adalah fakta yang tidak boleh disangkal,” kata ahli ekonomi Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Adli Amirullah.
“Buat masa sekarang, ya, Malaysia boleh bertahan dengan SST dan pendapatan kerajaan yang kurang daripada cukai langsung. Namun saya agak skeptikal penyelesaian ini akan berhasil untuk jangka masa panjang.”
Bahaya jika bergantung hanya pada hasil minyak
Adli berkata, Putrajaya terdedah kepada bahaya ekoran kebergantungan terhadap hasil minyak dan pendapatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, minggu ini, kerajaan PH akan mengatasi kekurangan pendapatan dengan bergantung kepada dividen daripada GLC dan hasil berkaitan minyak. Pada pandangan saya, penyelesaian ini hanya sesuai untuk jangka masa pendek.”
“Boleh kerajaan jamin yang 10 tahun akan datang, GLC akan membuat keuntungan dan membayar dividen secara berterusan?
“Dan bolehkah kerajaan jamin yang harga minyak akan kekal sama seperti yang kita lihat hari ini, iaitu AS$70 setong? Persoalan ini penting dijawab oleh kerajaan. Mereka harus ada pelan untuk jangka panjang.”
Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanya akan merangkumi 38 peratus daripada kumpulan barangan Indeks Harga Pengguna (IHP) berbanding 60 peratus mengikut Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Lim semalam. Kereta, bahan binaan rumah terpilih, makanan berproses serta perkhidmatan dan minuman tidak dikecualikan daripada SST.– 21 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen