Pulau Pinang sekat kemasukan anjing dari Perak


Looi Sue-Chern

Exco Kesihatan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin berkata menunjukkan pasport haiwan peliharaan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pemilik haiwan berdaftar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 19 Julai, 2017.

PIHAK berkuasa Pulau Pinang mengambil langkah berjaga-jaga susulan laporan kes rabies atau anjing gila di Kuala Sepetang, Taiping, Perak.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang mengadakan sekatan jalan raya di sempadan negeri itu dengan Perak bagi memastikan tidak ada sesiapa membawa masuk anjing dari Perak ke Pulau Pinang.

Exco Kesihatan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga boleh merampas mana-mana anjing didapati tanpa lesen untuk pemeriksaan rabies.

“Kami juga memantau kawasan sempadan bagi mengesan sebarang pergerakan anjing, sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya pada sidang media di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri di Bukit Tengah, Seberang Prai hari ini.

Kuala Sepetang, di mana seekor anjing positif rabies menggigit anak dan anak saudara pemiliknya itu, terletak hanya kira-kira 50km dari sempadan Pulau Pinang-Perak iaitu di Nibong Tebal.

Anjing berkenaan dilaporkan mati sembilan hari selepas menggigit kanak-kanan terbabit, yang tidak menunjukkan sebarang simptom sakit selepas digigit.

Sebelum Perak, empat kes rabies yang menyebabkan kematian empat mangsa baru-baru ini dilaporkan di Sarawak.

Kali terakhir Pulau Pinang terkena wabak anjing gila pada September 2015. Kira-kira 3,000 anjing liar dibunuh dalam usaha mengawal wabak berkenaan di negeri itu.

Tetapi hanya empat anjing yang diuji positif rabies dalam ujian sampel otak lebih 240 anjing. Tiada manusia dijangkiti penyakit itu.

Dr Afif berkata setakat ini tidak ada arahan untuk menghapuskan anjing, dan kejadian rabies kali terakhir dilaporkan di negeri itu, dua tahun lalu.

“Sejak Januari, kami memeriksa sampel 32 anjing tetapi keputusannya negatif.

“Jika menjelang September kami tidak merekodkan sebarang kes baharu, kami akan isytihar Pulau Pinang bebas rabies,” katanya, menambah semua jenis mamalia boleh terjangkit dengan rabies termasuk kucing dan tikus, tetapi anjing ialah vektor utama.

Beliau juga meminta kumpulan kebajikan haiwan yang menyelamatkan anjing liar dan sering memberi makan kepada anjing jalanan membantu memantau sebarang perubahan sikap dalam kumpulan anjing yang mereka kenal bagi membendung penyebaran rabies.

Di Pulau Pinang, Dr Afif berkata dianggarkan terdapat 10,000 anjing liar dengan kira-kira 4,300 di bahagian pulau sementara 7,000 anjing didaftarkan pemilik masing-masing, berlesen dan divaksin.

Beliau menasihatkan pemilik anjing memberikan vaksin kepada haiwan peliharaan, dan jika gagal mendapatkan lesen untuk anjing, mereka boleh didenda RM5,000.

Katanya, Pulau Pinang mempunyai bekalan vaksin rabies mencukupi di agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri di Bukit Tengah dan Jalan Gurdwara serta Majlis Perbandaran Seberang Prai dan semua klinik haiwan swasta.

Beliau juga menggalakkan pemilik haiwan mendapatkan “Pasport Haiwan Peliharaan” daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

Pasport itu dalam bentuk identifikasi untuk haiwan didatangkan dengan mikrocip disuntik di bawah kulit haiwan, kini diberi potongan harga RM7, berbanding harga asal RM35.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan negeri Dr Siti Salmiyar Tahir meminta orang ramai memaklumkan pusat operasi jabatan itu jika ada kes gigitan haiwan di talian 04-5041047. – 19 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen