Politik wang dalam parti punca rasuah pilihan raya, kata pengkaji


Melati A. Jalil

Pendedahan tentang dana 1MDB menunjukkan yang AS$681 juta (RM2.6 bilion pada 2015 ketika ia terbongkar) dari 1MDB yang masuk ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak mengesahkan yang wang dana pelaburan negara itu digunakan untuk membiayai PRU13. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Julai, 2018.

POLITIK wang meresap masuk ke dalam pilihan raya umum kerana kegagalan mengekangnya di peringkat pemilihan parti, kata Profesor Universiti Malaya Dr Edmund Terence Gomez.

Beliau menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Malaysia pada 2013 adalah “titik penentu” kemuncak politik wang kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita biasa bercakap tentang politik wang dalam Umno, MCA dan MIC, tetapi sekarang kita bercakap tentang politik wang dalam pilihan raya umum, politik wang dari parti yang meresap masuk ke dalam arena nasional (pilihan raya umum).

“Wang dalam pilihan raya ini (PRU13) sangat banyak dan kita tak tahu dari mana ia datang, duit mengalir (sepanjang masa) tempoh berkempen,” kata pakar politik ekonomi Malaysia itu pada forum Political Financing Reforms anjuran G25 di Kuala Lumpur hari ini.

Gomez berkata pendedahan tentang dana 1MDB menunjukkan yang AS$681 juta (RM2.6 bilion pada 2015 ketika ia terbongkar) dari 1MDB yang masuk ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak mengesahkan yang wang dana pelaburan negara itu digunakan untuk membiayai PRU13.

Awal bulan ini, Pasukan Petugas Siasatan Khas 1MDB ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan lebih daripada 400 akaun bank dibeku kerana disyaki menerima dana 1MDB daripada akaun Najib.

Sebahagian penerima adalah parti politik yang diberikan dana untuk PRU13.

Gomez berkata pada PRU14 pula, politik wang juga diamalkan tetapi disamarkan dalam bentuk dasar kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). 

“Kerana kita tidak melakukan perubahan pembiayaan politik, politik wang berlaku dalam banyak bentuk, ia sudah jadi sebahagian daripada pembentukan dasar awam dan bagaimana ia dilaksanakan.

“Politik wang bukan hanya soal pembiayaan parti, ia jadi isu besar dalam aspek bagaimana kita berpolitik dan membuat dasar. Kita perlu pastikan perubahan ini diinstitusikan untuk selama-lamanya,” katanya.

Politik wang berakar umni dalam Umno ketika Dr Mahathir jadi menteri kewangan dan bertambah buruk pada pentadbiran Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2018.

Gomez berkata politik wang dalam Umno bermula pada 1981 apabila Tengku Razaleigh Tengku Hamzah bertanding jawatan timbalan presiden.

Kemunculan banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah satu lagi sumber politik wang dalam pemilihan parti 1987, apabila syarikat ini menyalurkan wang untuk parti politik, tambahnya.

Beliau juga berkata yang wang dari perniagaan besar meresap masuk ke dalam akar umbi parti pada pemilihan Umno 1993, dan akhirnya politik wang berakar umbi dalam Umno ketika Dr Mahathir Mohamad jadi menteri kewangan dan berterusan sehingga zaman pentadbiran Najib.

Malaysia tidak mempunyai peraturan berkaitan pembiayaan politik walaupun pentadbiran Najib dahulu pernah mempertimbangkan perkara itu, tetapi tiada undang-undang digubal.

Kerajaan Pakatan Harapan yang baharu di bawah Dr Mahathir sudah mengumumkan rancangan untuk membentangkan undang-undang pembiayaan politik bagi mengekang korupsi dan pelobian.

Gomez berkata parti politik perlu melakukan perubahan sistem pembiayaan mereka sendiri. Katanya, pemilihan terbaru Umno menunjukkan politik dalaman parti Melayu terbesar itu tidak berubah walaupun sudah tidak lagi punya kuasa kerajaan persekutuan.

“Berbanding memilih orang baharu jadi teraju, orang lama dan warlord yang berkuasa. Politik tak berubah walaupun Umno sudah hilang kuasa.

“Kerana itulah perubahan dalaman parti sangat penting,” katanya. – 21 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ketuanan dan keangkuhan juga adaalah antaranya faktor2 yg menyebabkan money politics making dasyat.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan