UNDANG-UNDANG keselamatan kanak-kanak sedia ada perlu disemak semula, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas punca kematian seorang bayi berusia 10 bulan yang dipercayai kerana terjatuh di rumah pengasuhnya.
Bayi berkenaan meninggal dunia empat hari selepas dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Dr Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata kementerian sudah berbincang tentang keperluan semakan semula itu dengan Jabatan Peguam Negara.
“Kita perlu kukuhkan undang-undang dan dasar sedia ada. Kami sudah berbincang mengenainya dengan Jabatan Peguam Negara. Katanya undang-undang sekarang ada kelompangan dan wujud keperluan untuk diteliti semula,” katanya kepada wartawan pada majlis rumah terbuka Hari Raya anjurannya di Pandan Indah hari ini.
Dr Wan Azizah berkata beliau sangat sedih mendengar tragedi itu.
“Kita perlu tengok dan kaji bagaimana kita boleh halang kes seperti ini daripada berulang.”
Bayi berkenaan dijaga pengasuh berusia 35 tahun di Tangkak dimasukkan ke hospital selepas mengalami sawan.
Pemeriksaan awal mendapati ada kesan luka baharu dan lama di kepala bayi itu, pendarahan dalam mata dan keretakan tengkorak.
Khamis lalu polis menahan pengasuh bayi itu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebelum ini, negara dikejutkan dengan penemuan mayat bayi berusia lima bulan dalam peti sejuk rumah pengasuhnya di Batu Caves, Selangor.
Polis berkata mayat bayi itu ditemui dibungkus dengan lampin dan diletakkan dalam beg berwarna hijau.
Pengasuh bayi berkenaan, Noor Aqilah Abd Rahman, 33, kini sedang dibicarakan atas pertuduhan menganiaya bayi itu sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dan melupuskan mayat mangsa dengan menyembunyikan kematiannya. – 21 Julai, 2018.
Komen