Ringgit mengukuh menjelang hujung tahun, kata pakar ekonomi


Sheridan Mahavera

Ringgit akan berdepan turun naik sebelum masuk suku keempat tahun ini untuk terus kukuh mencapai nilai RM3.80 berbanding Dolar AS, kata Ketua Ekonomi Kapital Affin Hwang, Alan Tan Chew Leong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Julai, 2018.

RINGGIT dijangka terus kukuh pada kadar RM3.80 berbanding Dolar AS menjelang hujung tahun ini, kata seorang pakar ekonomi yang mengulas kekukuhan ekonomi negara.

Ketua Ekonomi Kapital Affin Hwang, Alan Tan Chew Leong bagaimanapun berkata, nilai mata wang negara mungkin berdepan turun naik sebelum suku keempat tahun ini bermula.

“Tetapi apabila masuk dalam suku keempat kita menjangkakan ia (nilai Ringgit) akan terus kukuh kepada RM3.80 menjelang hujung tahun ini,” katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas majlis di Dewan Perniagaan Malaysia-China.

Ini adalah disebabkan kedudukan fiskal Malaysia yang baik apabila kerajaan mengumumkan ia boleh mencapai sasaran defisit bajet sebanyak 2.8% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang hujung tahun ini.

Analisis Tan tentang Ringgit juga berdasarkan lebihan akaun semasa Ringgit yang menunjukkan eksport Malaysia lebih banyak berbanding import.

“Melihat kepada asas ekonomi Malaysia, terutamanya kedudukan fiskal yang terus mampu urus dan terus bertambah baik, terutamanya lebihan akaun semasa yang kekal pada tahap selesa, kami fikir ia akan menyokong Ringgit (jadi lebih kukuh) menjelang akhir 2018.”

Ringgit jatuh untuk diniagakan pada RM 4.06 hari ini berbanding RM 3.90 pada Januari.

Tan berkata satu lagi faktor yang boleh membantu meningkatkan Ringgit adalah peraturan Bank Negara yang mengarahkan pengeksport mengubah 75% perolehan mereka daripada Dolar AS kepada Ringgit.

“Langkah ini akan mencipta permintaan lebih banyak untuk Ringgit.”

Tam menambah yang beliau menjangkakan ekonomi negara untuk terus berkembang antara 5% hingga 5.3% tahun ini walaupun wujud kebimbangan kesan perang perdagangan AS- China.

Kemelut pelaksanaan tarif antara dua kuasa besar itu dijangka memberi kesan kepada perdagangan antara dua negara itu yang bernilai AS$50 bilion seterusnya mewujudkan kejutan perdagangan kepada negara lain.

Tan berkata jika Presiden AS Donald Trump melunaskan janjinya untuk memulakan perang perdagangan besar-besaran, ia akan mencetuskan krisis ekonomi dunia yang memberi kesan kepada semua negara termasuk Malaysia.

“Tetapi kami menjangkakan Trump tidak akan bertindak begitu, akan ada tolak ansur antara China dan AS.” – 21 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen