Calon Bebas Murthy lawan BN, PKR di Sg Kandis


Chan Kok Leong

Murthy Krishnasamy (tengah) muncul di dewan penamaan calon tanpa pengumuman awal dan penyokong, menjadikan PRK Sungai Kandis tiga penjuru antaranya dan Lokman Adam (kanan) dan Zawawi Ahmad Mughni (kiri). – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Julai, 2018.

KEPUTUSAN pesara penjawat awam Murthy Krishnasamy untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis menjadikan pertandingan tiga penjuru berlaku.

Calon yang kurang dikenali media itu muncul di pusat penamaan calon di Dewan MBSA, Shah Alam pagi ini tanpa pengumuman awal dan penyokong selepas calon Barisan Nasional dan PKR memfailkan pencalonan mereka.

BN meletakkan Lokman Adam daripada Umno dan calon PKR adalah guru agama Zawawi Ahmad Mughni.

Ketika ditemubual selepas penamaan calon, Murthy berkata beliau hanya mahu jadi suara bebas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Tambahnya, beliau mahu “membayar” jasa Selangor yang pernah mengambilnya sebagai penjawat awam.

“Saya mahu bayar balik kepada Selangor sebagai calon Bebas,” kata Murthy selepas tempoh penamaan calon tamat.

Beliau enggan memberikan butiran lanjut tentang keputusannya bertanding pada PRK Sungai Kandis sebagai calon bebas.

Sebaliknya, ketika bercakap dengan wartawan, Murthy menghabiskan masa bertanya jika mereka tahu asal usul nama Malaysia.

Ketika ditanya tentang isu yang akan diperjuangkan sekiranya menang, Murthy berkata beliau mahu mewakili semua rakyat Malaysia.

Pegawai Pengurus Ahmad Zaharin Mohd Saad yang juga datuk bandar Shah Alam secara rasmi mengumumkan Murthy, Lokman dan Zawawi sebagai tiga calon PRK.

Ini adalah PRK pertama selepas PRU14, 9 Mei lalu.

Pada PRU14 lalu, Shuhaimie Shafiei (PRK) meraih 23,998 undi untuk menang majoriti 12,480 undi. Kamaruzzaman (BN) pula meraih 11,518 undi, Mohd Yusof Abdullah (PAS) pula mendapat 7,573 undi. Hanafiah Husin (PSM) hanya mengumpul 76 undi daripada 50,800 undi kawasan itu.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian Shuhaimie pada 2 Julai lalu. – 21 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen