SPR batal sekatan guna gambar pemimpin parti lain


Chan Kok Leong

PRK Sungai Kandis adalah PRK pertama selepas PRU14. SPR memperkenalkan beberapa pembaharuan termasuklah pembatalan sekatan guna gambar parti lain dalam pakatan sama dan penambahan saluran mengundi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Julai, 2018.

SEKATAN meletakkan gambar pemimpin parti lain dalam bahan kempen dibatal, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Tidak ada lagi sekatan untuk menggunakan gambar pemimpin parti lain,” kata Timbalan Pengerusi SPR Othman Mahmood di dewan penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis di Shah Alam hari ini.

Katanya, calon dibenarkan menaikkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, logo parti dan gambar pemimpin lain dalam pakatan disertai mereka.

Bagaimanapun, calon tidak dibenarkan menaikkan bahan kempen mengandungi imej parti lawan mereka.

Othman juga mengingatkan calon supaya tidak menaikkan bahan kempen yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Katanya, tindakan itu adalah sebahagian perubahan diperkenalkan SPR untuk PRK Sungai Kandis yang dijadualkan berlangsung 4 Ogos depan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, beberapa papan tanda Pakatan Harapan yang mempunyai gambar Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad “dipotong”.

Tindakan itu dikecam hebat apabila ia diperkenalkan menjelang PRU14 yang dikatakan cubaan mengekang pengaruh Dr Mahathir.

Perubahan lain diumumkan Othman adalah pengenalan 21 saluran mengundi untuk memudahkan proses mengundi.

“Untuk pilihan raya kecil ini, kami menaikkan jumlah saluran daripada 88 kepada 109. Tempoh mengundi juga ditambah 30 minit, menjadikannya bermula daripada 8:00 pagi hingga 5:30 petang,” kata Othman.

Othman menambah, seramai 69 pemerhati dilantik sebagai pemerhati pilihan raya kecil itu.

“Pemerhati terdiri daripada Suhakam, Bersih 2.0, Engage, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Universiti Kebangsaan Malaysian dan Kelab Pemikir Nasional.”

SPR menjangkakan kadar turun mengundi sebanyak 80% untuk PRK ini. Keputusan dijangka diumumkan pada jam 10 malam pada 4 Ogos.

Sebelum itu, SPR mengesahkan PRK Sungai Kandis akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Lokman Adam (Barisan Nasional), Zawawi Ahmad Mughni (PKR) dan calon bebas Murthy Krishnasamy.

Ini adalah PRK pertama selepas PRU14 pada 9 Mei lalu. – 21 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen