HAKIM Mahkamah Rayuan Idrus Harun menarik diri daripada mendengar permohonan rayuan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng selepas timbul kebimbangan mengenai kemampuannya memberikan perbicaraan “adil” bagi kes itu.
Ketua peguam defendan Gobind Singh Deo memberitahu media yang mereka membuat permohonan supaya mahkamah menukar hakim kerana mereka bimbang beliau mungkin berat sebelah terhadap keputusannya bagi kes Tony Pua dua minggu lalu.
Pua memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2016 yang menolak permohonannya mendapatkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan melarangnya ke luar negara.
Dalam permohonan semakan kehakimannya, Pua mendakwa beliau dilarang keluar dari negara ini di Klia2 pada 2 Julai, 2015.
Pada 5 Julai, Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Zawawi Salleh bersama Idrus dan Kamardin Hashim menolak permohonan itu tanpa kos.
Gobind berkata keputusan Idrus hari ini sesuai bagi memastikan perbicaraan adil dalam kes itu kerana beliau dan rakan sepasukan akan berhujah mengenai prinsip dan tafsiran Perlembagaan Persekutuan yang sama.
“Dalam kes Tony Pua, Idrus kata perlu ada tafsiran sebenar terhadap Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan dan bukan tafsiran luas. Ia isu sama yang akan kami hujahkan,” kata Gobind.
Katanya, berdasarkan perkara itu, beliau berpendapat lebih baik Idrus tidak mengendalikan perbicaraan itu kerana mereka akan berhujah terhadap keputusan yang dibuat hakim itu sebelum ini.
“Kami akan berhujah yang keputusannya pada hari itu tidak tepat. Kami tidak mahu situasi di mana kami terpaksa berhujah di depan hakim dan mengkritik penghakimannya sebelum ini.
“Lebih lagi bila kes yang diputuskannya itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan,” kata Gobind.
Idrus selepas mendengar hujah dan alasan dan hujahan peguam, terus menarik diri dan berkata ada asas dalam hujahan peguam.
Kes ditunda ke 7 Ogos di mana hakim baru akan dilantik sebagai pengganti Idrus.
Idrus adalah seorang daripada tiga hakim yang mendengar kes Lim.
Dua lagi ialah Umi Kalthum Abd Majid dan Abdul Rahman Sebli.
Lim membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang dibuat pada Mac.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 7 Mac menolak permohonan Lim dan ahli perniagaan Phang Li Khoon untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengikut Perlembagaan.
Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata Seksyen 62 adalah sah kerana ia tidak menghalang hak tertuduh mendapatkan perbicaraan yang adil.
Akta itu hanya digunakan untuk mempercepatkan perbicaraan.
Seksyen 62 Akta SPRM berhubung penyerahan kenyataan pembelaan.
Ia menyatakan kenyataan dan dokumen pembelaan yang dikemukakan sebagai bukti mesti diserahkan sebelum perbicaraan bermula.
Lim dan Phang mahu Seksyen 62 diisytiharkan tidak mengikut Perlembagaan kerana mendakwa ia bertentangan dengan prinsip “tidak bersalah selagi tidak terbukti bersalah”.
Pada 30 Jun tahun lalu, Lim didakwa menerima suapan untuk dirinya dan isterin, Betty Chew dengan meluluskan penukaran dua lot tanah pertanian milik Magnificent Emblem kepada pembangunan kediaman ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 18 Julai 2014.
Kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Beliau berdepan pertuduhan lain di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kedudukannya untuk kepentingan diri dengan membeli banglo di Jalan Pinhorn daripada Phang dengan harga RM2.8 juta, di bawah nilai pasaran RM4.27 juta, pada 28 Julai 2015. Kesalahan ini boleh membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah. – 19 Julai, 2017.
Komen