Penahanan Jho Low berita palsu, kata Dr Mahathir


Yasmin Ramlan Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa khabar angin mengenai penahanan ahli perniagaan yang dikehendaki polis, Jho Taek Low atau dikenali sebagai Jho Low adalah berita palsu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Julai, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa khabar angin mengenai penahanan ahli perniagaan yang dikehendaki polis, Jho Taek Low atau dikenali sebagai Jho Low adalah berita palsu.

Ini kerana beliau masih belum mendapat sebarang maklumat mengenainya, katanya yang juga pengerusi Bersatu.

“Saya tak tahu. Saya tidak mendapat apa-apa berita mengenai penahanannya. Ia berita palsu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi.

Berita mengenai penahanan Jho Low pertama kali dilaporkan oleh stesen radio Hong Kong dan kemudiannya dipetik laman sesawang pembocor maklumat yang berpangkalan di UK, Sarawak Report, semalam.

Malaysia mengeluarkan waran tangkap ke atas Jho Low pada awal Jun, selepas kerajaan baharu di bawah pentadbiran Dr Mahathir membuka semula siasatan ke atas skandal 1MDB.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun menafikan berita mengenai penahanan Jho Low, berkata yang watak utama dalam skandal 1MDB itu masih belum ditangkap.

Fuzi awal hari ini berkata polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa China bagi menjejaki Jho Low. Notis merah interpol telah dikeluarkan ke atas ahli perniagaan dalam pelarian itu.

Jho Low adalah individu penting yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) menyifatkan Jho Low sebagai dalang di sebalik penyelewengan berbilion dolar dana syarikat pelaburan negara itu.

Jho Low, yang merupakan orang kepercayaan bekas perdana menteri Najib Razak, berasal dari Pulau Pinang dan dipercayai sudah melarikan diri dari Macau.– 20 Julai, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen