SST tak naikkan inflasi, tetapi lebih banyak pihak dapat elak bayar cukai


The Malaysian Insight

Kerajaan perlu berusaha menutup kelompangan dan menguatkuasakan sistem cukai itu sebaik mungkin supaya tidak menjejaskan kutipan cukai negara yang sudahpun berkurangan disebabkan kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang ditetapkan Jun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2018.

CUKAI Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal dilaksanakan September ini dijangka tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan seterusnya tidak meningkatkan inflasi, tetapi kelompangan sistem cukai itu boleh menyebabkan ketirisan kutipan perolehan berbilion ringgit kerana perbuatan mengelak cukai.

Presiden Persatuan SME Malaysia Michael Kang berkata sistem SST sebelum ini mempunyai banyak kelompangan yang membolehkan perniagaan dan orang kaya mengelak daripada membayar cukai. Kesannya adalah ia mengurangkan hasil kutipan cukai.

Katanya, kerajaan perlu berusaha menutup kelompangan dan menguatkuasakan sistem cukai itu sebaik mungkin supaya tidak menjejaskan kutipan cukai negara yang sudahpun berkurangan disebabkan kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang ditetapkan Jun lalu.

“Ramai pakar cukai mencadangkan kerajaan untuk menggabungkan aspek SST dan GST untuk mengurangkan pengelakan cukai,” kata Kang kepada The Malaysian Insight.

Pengkritik SST memberi amaran yang dengan hanya 2.27 juta rakyat merupakan pembayar cukai daripada tenaga kerja negara berjumlah 15 juta orang, sekurang-kurangnya kutipan cukai tahun ini akan berkurangan sebanyak RM20 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan yang kerajaan berharap untuk mengutip RM21 bilion daripada SST, separuh daripada RM42 bilion yang dikutip menerusi GST pada 2017. Pada 2014, kerajaan hanya mengutip RM17 bilion menerusi SST.

Bagaimanapun, Kang berkata sekiranya sistem percukaian SST berjaya dilaksanakan dengan baik, persatuan itu menjangkakan kerajaan boleh mengutip antara RM30 bilion sehingga RM35 bilion menerusi sistem baharu SST.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia Soh Thian Lai berkata, beliau percaya GST adalah “sistem cukai yang lebih adil” yang menghalang pengelak cukai dengan lebih berkesan berbanding SST, tetapi menambah pentadbiran lama, Barisan Nasional sepatutnya memulakan pelaksanaan GST pada kadar lebih rendah iaitu 4%.

“GST adalah sistem lebih adil, mereka yang berbelanja banyak akan bayar lebih (cukai),” katanya.

“Faedah GST adalah cukai dikutip pada semua peringkat, sementara SST hanya pada satu peringkat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Masih ada sebulan sebelum SST diperkenalkan, kerajaan perlu bertindak segera memberi penjelasan, garis panduan dan senarai barangan dicukai supaya peniaga dan pengguna tidak keliru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2018.

Bagaimanapun, beliau mengakui jika sistem SST dilaksanakan dengan betul, harga barangan dan kadar inflasi sukar meningkat.

“SST hanya disasarkan kepada barangan tertentu, bukan semua barangan, ia tak akan sebabkan inflasi, GST ya (akan sebabkan inflasi),” kata Soh.

Katanya hanya barangan import seperti elektronik dan barangan elektrik rumah akan naik harganya.

Soh dan Kang juga mengakui yang SST akan menaikkan aliran tunai pengeluar berbanding GST, apabila peniaga perlu membayar cukai terlebih dahulu sebelum boleh membuat permohonan balik kepada kastam.

“Sebelum ini, peniaga perlu tunggu enam bulan untuk dapatkan bayaran semula GST,” kata Kang.

“Bila mereka berdepan masalah aliran tunai, mereka terjerat sebab mereka tak tahu bila kastam dapat bayar mereka balik.”

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Kedai Serbaneka Malaysia Hong Chee Meng pula berkata kerajaan perlu memberikan penjelasan kepada pemilik kedai serbaneka sama ada barangan asas seperti minyak masak, garam dan mee akan terus tidak dikenakan cukai.

“Kebanyakan barangan dijual di kedai serbaneka dikawal, tetapi ada juga yang tidak. Terbaik kalau kerajaan boleh sediakan senarai yang jelas tentang barangan dicukai.

 “10% SST pada barangan makanan boleh beri kesan besar kepada pengguna, jadi kerajaan perlu pertimbangkan sama ada cukai itu perlu, supaya tak tambah beban rakyat,” kata Hong.

Beliau juga menggesa kerajaan supaya melakukan perbincangan dengan peniaga sebelum pelaksanaan SST.

“Masih ada sebulan lagi sebelum September, saya harap kerajaan boleh beritahu pemilik kedai serbaneka dan pengguna butirannya (SST), supaya kami tahu bagaimana hendak gunakan cukai.” – 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen