Razlan heret Umno patah balik belakang


Noor Azam Shairi

Sikap yang ditunjukkan oleh Razlan Rafii bukan sikap yang sepatutnya ada pada ahli sebuah parti yang megah bertempik memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, dan selalu bingkas melenting apabila disentuh soal Melayu dan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2018.

KERANA pulut santan binasa; kerana mulut badan binasa.

Dengan satu komen pendek di Twitter hari ini, seorang pemimpin muda Umno yang kononnya hendak menghina lawan politik akhirnya bukan saja menghina dan merendahkan martabat dirinya sendiri. 

Selebihnya, dia membuatkan orang memandang serong pada anak isteri, ibu bapa, adik beradik, saudara mara dan rakan taulan malah ikut sekali mengheret partinya untuk juga dipandang hina.

Ahli keluarganya, kawan-kawan dan Umno ikut terlibat kerana orang melihat itulah gambaran moral daripada pergaulan dan persekitaran yang membentuk batang tubuh dan pemikiran bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii.

Razlan dalam reaksinya terhadap berita kematian wakil rakyat Balakong, Eddie Ng Tien Chee bukan mengucapkan takziah. Dia sebaliknya langsung tidak sensitif kepada ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan mendiang, malah kepada lebih 30,000 pengundi yang memilih pemimpin DAP itu pada pilihan raya umum lepas.

Sikap yang ditunjukkan oleh Razlan, yang pada pemilihan Umno yang baru lalu jadi calon ahli Majlis Tertinggi partinya, tidak diajar dalam Islam dan bukan juga adab Melayu. 

Ini bukan sikap yang sepatutnya ada pada ahli sebuah parti yang megah bertempik memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, dan selalu bingkas melenting apabila disentuh soal Melayu dan Islam

Tetapi barangkali tidaklah juga orang faham, apakah Razlan langsung tidak mencerminkan watak yang sepatutnya sebagai ahli Umno atau memang begitu agaknya watak Umno.

Apa yang pasti, kalau misalnya sejak selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu Umno sudah melakukan sekian banyak perubahan, semua perubahan itu hari ini orang lupa kerana cabul dan celupar seorang pemimpin mudanya.

Inilah antara masalah Umno dalam hendak melakukan perubahan sekarang dan seterusnya menangkap imaginasi baru rakyat – bahawa dalam parti yang berdiri sejak sebelum Merdeka itu sekarang bersarang orang seperti Razlan.

Selama orang seperti ini tidak mengubah perangainya, dan selama Umno membiarkan mereka bersarang dalam parti, selama itulah Umno akan menanggung akibatnya. Umno tidak akan ke mana-mana. Dua tapak Umno melangkah ke depan, tujuh tapak orang seperti Razlan ini akan mengheret parti patah balik ke belakang dengan “kerazlanan” mereka.

Begitulah nanti ia berulang-ulang. 

Bukan ada seorang “Razlan” dalam Umno. Ada banyak orang seperti Razlan dengan “kerazlanan” mereka masing-masing – parti sudah kalah pilihan raya tetapi dalam kepala mereka berfikir dalam tangan masih ada kuasa, boleh buat apa saja dan semua orang bodoh belaka.

Dengan “kerazlanan” mereka itulah, Umno dihukum – seperti Sisifus dalam mitos Yunani yang dipaksa mengangkat batu naik ke bukit tetapi ketika dekat sampai ke puncak, batu itu bergolek jatuh, dan dia mengangkatnya sekali lagi, dan begitulah berulang-ulang.

Beberapa pemimpin Umno termasuk Azalina Othman Said sudah menegur Razlan dan cuba menjarakkan Umno daripada bekas calon ahli Majlis Tertinggi itu. 

Bekas ketua Razlan dalam Pemuda Umno dulu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar malah menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turun tangan menunjukkan kepimpinan. Khairy mahu Zahid mengutuk kenyataan celupar Razlan. 

“Belajar daripada apa yang sudah berlaku. Rakyat menolak parti kerana orang dalam parti yang bercakap dan berbuat salah. Mesti tunjukkan kepimpinan. Tak ada guna kalau hanya pemimpin bawahan yang menegur,” tulis Khairy di Twitter.

Umno tidak akan rugi apa-apa kalau tiada orang seperti Razlan. 

Tetapi dalam kerangka pemikiran dan cara kerja lama yang menyebabkan Umno terpelanting dari kerusi kuasa, orang seperti Razlan sangat banyak gunanya – sebagai ayam sabung dan anjing salak.

Ketika hala tuju Umno selepas PRU14 belum ternampak begitu jelas, Zahid perlu menyatakan sikap parti kepada orang seperti Razlan – bahawa perangai lama itu sudah tiada tempatnya dalam suasana politik Malaysia hari ini. – 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • UMNO memang perlukan orang mulut celupar macam si Razlan ni. Kalau tak celupar, bukan orang UMNO namanya. All the best to you, UMNO! Be ready with your coffin!

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Leng Kapri As Saribasi · Ulasan