Bersatu sudah ambil tindakan terhadap ahli sabotaj parti, kata Dr Mahathir


Yasmin Ramlan Noel Achariam

Siapa dan jumlah mereka yang dikenakan tindakan tatatertib kerana sabotaj Bersatu tidak akan didedahkan, kata Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Julai, 2018.

PENGERUSI Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu telah mengambil tindakan kepada ahlinya yang melakukan sabotaj kepada parti pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) lalu.

Dr Mahathir yang juga perdana menteri itu bagaimanapun berkata, Bersatu tidak akan mendedahkan nama dan jumlah ahli yang dikenakan tindakan itu. 

“Kita dah ambil tindakan tatatertib pada ahli parti yang dalam PRU (PRU14) yang tolong parti lain dan sabotaj parti kita.

“Nama (pensabotaj) itu kita tak boleh sebut termasuk mereka (yang) buat sidang akhbar buruk keadaan dalam parti.

“Ada yang digantung tapi tak dibuang terus. Tak payahlah beritahu berapa banyak dan siapa dia,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi.

Pada Februari lalu, beberapa ahli Bersatu Bahagian Kota Bharu, Kelantan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap halangan dihadapi parti itu, termasuk dalam isu pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dilaporkan juga sebelum ini bahawa Lembaga Disiplin parti itu turut menjalankan siasatan ke atas kumpulan pemimpin bahagian yang mengadakan sidang media di Kota Bharu semalam dan tidak menolak kemungkinan tindakan akan dikenakan terhadap mereka.

Sementara itu, dalam satu sidang media yang sama, Dr Mahathir memberitahu partinya akan menggunakan “Bersatu” sebagai slogan dan logo rasmi parti itu.

“Dulu tak boleh (guna) sebab ada bantahan dari pihak berkuasa. Sekarang ni kuasa dapat kepada kita dan (kita) boleh buat perubahan,” katanya. – 20 Julai, 2018.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen