Polis siasat kehilangan komputer riba dari rumah Najib


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Kuala Lumpur Rusdi Md Isa berkata anggota CID Sentul berkunjung ke rumah Najib Razak tengahari tadi untuk mengambil keterangan pembantu rumah Najib berkaitan laporan polis yang dibuat bekas perdana menteri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2018.

POLIS mengunjungi rumah Najib Razak di Kuala Lumpur hari ini untuk mengambil keterangan daripada seorang pembantu rumahnya berkaitan kehilangan sebuah komputer riba.

Peguam Najib, Badrul Hisham Abdullah berkata komputer riba itu adalah kepunyaan salah seorang pembantu rumah Najib dan hilang ketika polis melakukan operasi rampasan di rumah itu.

“Sebuah komputer riba hilang dan Najib juga sudah membuat laporan (polis) tentang bagaimana Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak dipatuhi.

“Biar polis siasat dahulu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Badrul merujuk operasi dilakukan polis di rumah Jalan Langgak Duta Mei lalu, seminggu selepas Najib disingkirkan sebagai perdana menteri susulan kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, beberapa laporan polis dibuat Najib kerana beberapa barang dilaporkan hilang ketika serbuan dibuat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Kuala Lumpur Rusdi Md Isa berkata anggota CID Sentul berkunjung ke rumah Najib tengahari tadi.

Satu lagi sumber polis berkata enam anggota polis beruniform memasuki rumah Najib tengahari tadi.

Polis mengambil keterangan pembantu rumah dan Najib berkaitan laporan dibuat bekas perdana menteri itu.

“Saya boleh sahkan yang pasukan (polis) mengambil keterangan pembantu rumah Najib berkaitan laporan polis dibuat bekas perdana menteri,” kata Rusdi.

Najib sebelum ini mengadu tentang kaedah serbuan yang dilakukan di rumahnya, terutama sekali di kondominium mewah di Pavilion Residences yang merupakan kediaman anak lelaki dan perempuannya.

Beliau juga membangkitkan kejadian yang ada anggota polis yang mengambil makanan dan coklat di apartment mewah itu dan tidak mematuhi SOP ketika membuat serbuan.

Susulan tuduhan itul, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Amar Singh Ishar Singh tampil membela pasukan polis, meminta bukti jika terdapat pelanggaran SOP dan berjanji akan menyiasat apa sahaja salah laku anggotanya.

Polis merampas aset mencecah RM1.1 bilion dalam bentuk wang tunai, barangan kemas, beg tangan mewah, jam tangan dan kaca mata hitam berjenama. Wang tunai yang dirampas dalam 26 jenis mata asing mencecah nilai RM116 juta. 

Najib kini berdepan empat pendakwaan korupsi berkaitan wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya daripada SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa. – 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen