Selepas mohon maaf, Razlan masih dikecam kerana hina kematian Adun DAP


Looi Sue-Chern

Razlan Rafii menimbulkan kemarahan ramai selepas twitnya menghina mendiang Adun Balakong Ng Tien Chee yang terbunuh dalam kemalangan awal pagi tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2018.

PEMIMPIN Umno Razlan Rafii meminta maaf kepada keluarga mendiang Adun Balakong, Ng Tien Chee daripada DAP kerana menghina Ng yang terbunuh dalam satu kemalangan di Cheras, Kuala Lumpur awal hari ini.

Razlan mencetuskan kemarahan pengguna media sosial termasuklah mereka yang beragama Islam dan Melayu yang memarahinya kerana memalukan Islam serta memintanya memadamkan catatannya di Twitter yang menghina itu.

“Matinya seorang yang suka fitnah dan hati busuk kepada Rakyat Malaysia! Kurang lagi kaki fitnah! Aman Malaysia! RIP,” kata Razlan pada jam 6:53 pagi tadi.

Tetapi selepas dikecam hebat pengguna media sosial yang lain, Razlan mengubah nada dengan mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga Ng dan memadamkan twitnya itu.

Ng yang berusia 40 tahun, bapa kepada tiga anak itu terbunuh selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Jalan Cheras-Kajang pada jam 12:40 pagi hari ini.

Razlan sebelum ini kekal membela tindakannya menulis twit menghina Ng, berkata yang Ng menuduh bekas perdana menteri Najib Razak dan ahli Umno sebagai perompak. Tetapi, Razlan turut menambah yang beliau berdoa supaya Adun DAP itu tenang bersemadi.

Tetapi, walaupun sudah meminta maaf, kesan twit menghinannya itu nampaknya terlalu besar, sehingga sebilangan pengguna media sosial mempersoalkan keikhlasannya meminta maaf.

Manakala, seorang lagi pengguna Twitter Syaffiq Naqiuddin (@syaffiq7474) berkata, niat Razlan adalah menghina Ng sebaik sahaja berita kematian itu tersebar dan hanya meminta maaf kerana ditegur Khairy Jamaluddin.

Ada juga pengguna Twitter yang mahukan Razlan dikenakan tindakan kerana mencemarkan nama Umno.

Seorang lagi pengguna Twitter, @thisisarelong pula dengan nada sini menasihati Razlan supaya “buka Jobstreet” kerana kerjaya politiknya sudah hancur disebabkan tindakannya tidak menghormati kematian.

– 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen