Ahli perniagaan jangan takut lapor rasuah, kata Dr Mahathir


Andrew Chin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pemberi maklumat tidak perlu bimbang kerana kerajaan Pakatan Harapan adalah sebuah kerajaan yang bersih dan mempunyai agenda memerangi rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menyeru kepada semua ahli perniagaan supaya jangan takut melaporkan perbuatan rasuah kerana pemberi maklumat akan dilindungi kerajaan.

Dr Mahathir berkata pemberi maklumat tidak perlu bimbang kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah kerajaan yang bersih dan mempunyai agenda memerangi rasuah.

“Saya tahu ada segelintir ahli perniagaan yang bimbang jika mereka berurusan dengan seorang perasuah atau korup, mereka berkemungkinan turut menjadi mangsa tindak balas individu itu atau rakan sekerjanya,” kata Dr Mahathir di hadapan 1,000 hadirin di mesyuarat agung tahunan (AGM) Associated Chinese Chambers of Commerce and Industries of Malaysia di hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur hari ini.

“Jangan takut. Kerajaan ini bersih, Kita akan melindungi anda daripada sebarang bentuk tindak balas.”

Malaysia mempunyai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, tetapi pengkritik berkata akta itu tidak mencukupi. 

Malaysia juga mempunyai Akta Rahsia Rasmi, di mana pesalah boleh dikenakan denda RM1 juta atau hukuman penjara setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga menetapkan bahawa pemberi maklumat hanya bercakap dengan agensi penguatkuasa.

Di samping itu, Dr Mahathir juga berharap ahli-ahli perniagaan dapat bersabar dalam usaha kerajaan sedang membina semula negara.

“Semasa saya jadi perdana menteri pada 1981, tak banyak kerja perlu dilakukan untuk mentadbir kerajaan kerana hanya perlu mengisi tempat kosong dengan orang yang berpengalaman.

“Sekarang kita kena bina semula kerajaan sebab banyak benda sudah musnah.”

Perdana menteri juga berkata kerajaan PH akan mewujudkan undang-uandang baharu bagi menggantikan “undang-undang drakonian” yang menghalang pembangunan negara.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, PH yang dianggotai PKR, DAP, Bersatu dan Amanah berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan selepas mengalahkan Barisan Nasional. – 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen