Berdekad berbelanja mewah, ahli Umno kini belajar berjimat


Nabihah Hamid

Segala kemewahan dan kesenangan yang dinikmati Umno sejak sekian lama apabila Barisan Nasional kehilangan Putrajaya di tangan Pakatan Harapan pada PRU14 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2018.

SEBELUM pilihan raya umum 9 Mei, kalau ada program parti, ahli-ahli Umno biasanya boleh untuk tinggal di hotel, makan percuma dan duit poket kerana parti Melayu itu tunjang kerajaan yang memerintah.

Zaman itu sudah berakhir. Akaun bank parti sudah dibekukan untuk siasatan pihak berkuasa. Pemimpin mereka bukan lagi menteri dalam kerajaan persekutuan. Selebihnya, parti itu kini hanya menjadi kerajaan di dua negeri iaitu Perlis dan Pahang.

Buat pertama kalinya, sebahagian besar ahli Umno kini terpaksa belajar berjimat cermat dan tidak bermewah agar parti dapat terus berfungsi, kerana sumber kewangan parti terhad.

Daripada mengambil khidmat penyedia makanan, di sesetengah bahagian sekarang ahli-ahli Umno diminta membawa makanan sendiri atau “potluck” untuk mesyuarat sebagai langkah berjimat.

Daripada tinggal di hotel semasa melawat bahagian, mereka kini menumpang tidur di rumah ahli-ahli akar umbi di kawasan.

Bagi ahli parti yang setia, masalah Umno hari ini adalah peluang untuk memulakan budaya baru berkhidmat dan berkorban dalam kalangan ahli parti di akar umbi.

“Ini budaya baru yang saya mahu tanam dalam kalangan ahli-ahli parti,” kata ketua sayap Pemuda Umno yang baru dipilih, Asyraf Wajdi Mohd Dusuki.

Asyraf memberi contoh perbelanjaan semasa siri jelajah Pemuda Umno ke Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah baru-baru ini yang ditanggung sendiri oleh ahli-ahlinya.

“Meskipun akaun parti dibekukan, program Pemuda Umno masih berjalan kerana kita telah amalkan budaya baharu iaitu akar umbi sedia berkorban, mereka kumpul dana untuk adakan jamuan dan membiayai penginapan ketua mereka.

“Misalnya dalam siri jelajah ke Sabah, saya hanya membayar tiket penerbangan, kami tidak tinggal di hotel sebaliknya hanya bermalam di rumah pemimpin Pemuda di sana, jamuan pula hasil kutipan dana. Kini kita amalkan budaya pengorbanan demi perjuangan,” jelasnya.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Umno terpelanting dari Putrajaya dan kalah juga di semua negeri – kecuali dua, termasuk Terengganu yang kaya dengan hasil minyak dan tanah tumpah lahir parti Melayu itu, Johor.

Umno kini mempunyai 51 wakil rakyat di Parlimen, berbanding 88 kerusi yang dimenanginya semasa PRU13.

Di Perak, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Saarani Mohamad berkata pihaknya mengambil langkah penjimatan dengan mengurangkan kos peruntukan makanan selain tidak menganjurkan program lawatan.

“Yang mana melibatkan perbelanjaan agak tinggi kita akan elakkan. Kita akan memilih mana-mana program kita utamakan kita buat. Program seperti kos rendah tetapi beri manfaat,” kata Ketua Bahagian Umno Lenggong, Perak itu.

“Dulu semasa Umno menjadi kerajaan maka penyokong berpendapat kita ada sumber kewangan, jadi contoh kita buat majlis akan bertanya ada tak kos wang untuk belanja makan.

“Untuk kali ini kita katakan makan lebih baik secara potluck, ia menjimatkan dan mendidik rasa kepunyaan. Kalau kos makan dapat dikurangkan banyak perbelanjaan dapat dikurangkan,” katanya, yang mendedahkan itu merupakan pendekatan terbaru dibuat sewaktu bermesyuarat.

Menurut ahli Umno di Lenggong, Saudah Ngah, 71, pilihan raya kali ini tiada lawatan sosial dianjurkan untuk ahli Umno kawasan meskipun kawasan Parlimen itu dimenangi Umno berbeza dengan PRU sebelumnya.

Tindakan kerajaan membekukan akaun bank milik Umno dan pemimpin-pemimpinnya tidak sesekali akan melumpuhkan kebangkitan parti Melayu itu, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2018.

“Kalau dulu lepas PRU menang mesti ada lawatan pergi ke Pulau Pinang tapi sekarang tak buat. Dulu majlis raya ada duit raya, kali ini walaupun kawasan kita menang agak hambar sikit.

“Tapi tidak apa, kita faham kedudukan Umno sekarang. Majlis raya tempoh hari pun sederhana,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jelebu, Jalaluddin Alias berkata pihaknya hanya memfokuskan program berkaitan rakyat dan tidak lagi membuat majlis keraian yang besar.

“Kita tiada lagi bajet tahunan seperti dulu. Program hanya yang berkaitan dengan rakyat seperti lawat orang sakit, gotong royong dan program pengukuhan parti sahaja.

“Dahulu lawatan bergantung sewaktu jadi kerajaan, kita boleh gunakan peruntukan exco dan Parlimen. Sebab ada juga saluran peruntukan menerusi NGO, seperti persstuan ibu tunggal dan sebagainya.

“Kini, sudah berbeza. Cuma untuk peruntukan makanan mesyuarat masih kita salurkan. Saya gunakan elaun (gaji) ahli Parlimen saya untuk ahli Umno kawasan saya.

“Tetapi majlis besar tidak buatlah. Goody bag tiadalah. Sekarang ini kita lebih hati-hati berbelanja kerana fokus kita mengukuhkan parti dan mengembalikan sokongan rakyat,” katanya yang juga ketua Umno Bahagian Jelebu.

Bersetuju dengan pendekatan sayap Pemuda, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dira Abu Zahar berkata pimpinan perlu kreatif untuk mencari dana untuk aktiviti parti.

“Kita boleh uruskan kewangan dengan baik. Umno perlu lebih kreatif laksananya (penjimatan). Dan Dr Asyraf buktikan beliau mampu menjalankan tugas dan setiap orang boleh adakan jelajah tanpa menghabiskan wang yang banyak,” kata bekas exco Puteri Umno itu.

Bagi Dira, antara inisiatif lain boleh diambil untuk membantu kewangan ialah dengan mendapatkan tajaan mahupun sumbangan.

“Kita jangan bila tiada duit kerja tidak jalan. Perlu ada ikhtiar. Itulah perjuangan,” katanya lagi. – 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Semua org mahukan hidup yang sempurna untuk kehidupan seharian mereka. Kesempurnaan bukan hanya terletak pada wang ringgit malah dr semua sudut termasuk tingkah laku, cara kepimpinan dan sebagainya. Tidak kira golongan termasuk ahli politik. Akan tetapi ada hadnya, supaya tidak mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat. Jangan pula ada yang mahu lagakan sama2 ahli politik kerana isu ini. Kita harapkan kepimpinan negara kita tidak ada yang berperangai sebegini.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jessi Jane · Ulasan