Malaysia model perpaduan dan keamanan, kata Najib


Low Han Shaun

Najib Razak berkata Raja Arab Saudi memberitahunya Malaysia mempamerkan contoh perpaduan kaum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Julai, 2017.

MALAYSIA menjadi pilihan utama Raja Arab Saudi bagi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), kata Perdana Menteri Najib Razak hari ini.

Najib berkata, beliau diberitahu Ketua Penasihat Raja Arab Saudi iaitu Salman Abdulaziz Al-Saud, walaupun negara Arab mempunyai “pilihan lain”, Malaysia dipilih kerana mempamerkan contoh perpaduan kaum.

“Ketua penasihat Raja Salman memberitahu saya, apabila mereka memilih negara untuk menempatkan KSCIP, mereka boleh memilih mana-mana negara tetapi mereka memilih Malaysia kerana mengambil Malaysia sebagai pilihan model,” katanya pada ucaptama pada pelancaran Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

KSCIP dibina di Putrajaya dan memulakan operasi pada 30 Mei dalam usaha untuk memperbetulkan persepsi masyarakat dunia terhadap Islam serta menangkis pengaruh ekstremisme dan aktiviti pengganas serta mempromosikan keamanan sejagat.

“Inilah sebabnya mengapa mereka katakan apa yang saya sebut dalam mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini iaitu (Malaysia) adalah Islam yang sahih, dan hanya di Malaysia Islam yang sahih ini diamalkan,” kata Najib.

Najib berada di Putrajaya hari ini untuk secara rasmi melancarkan Kompleks Islam Putrajaya, Islamic Financial Services Centre(IFiC) Tabung Haji dan juga melancarkan garis panduan am bagi pentadbiran Syariah di Malaysia. – 18 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen