Minta maaf, tarik semula kenyataan atau sedia disaman, kata Kayveas


Noel Achariam

Presiden myPPP M Kayveas berkata mereka yang menuduhnya menyalahguna kuasa dalam pembelian hartanah bernilai RM28 juta diberi tempoh sehingga 31 Julai ini untuk memadam semua kenyataan di media sosial dan memohon maaf. Jika gagal dilaksanakan, tindakan undang-undang akan diambil, katanya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Julai, 2018.

PRESIDEN myPPP, M Kayveas menuntut pihak yang menuduh beliau menyalahguna kuasa dalam pembelian hartanah supaya memohon maaf dan menarik semula kenyataan mereka atau berdepan tindakan undang-undang.

Kayveas berkata mereka diberi tempoh sehingga 31 Julai ini untuk memadam semua kenyataan di media sosial dan memohon maaf. Jika gagal dilaksanakan, tindakan undang-undang akan diambil, katanya.

“Mereka perlu memohon maaf secara terbuka kepada saya dan idnividu lain yang disebut di dalam kenyataan itu,” beliau berkata demikian di ibu pejabat myPPP di Kg Attap hari ini.

“Kalau sampai hujung bulan ini tak ada permohonan maaf di media sosial dan akhbar, peguam saya akan hantar surat saman kerana memfitnah.”

Kayveas mengulas mengenai tuduhan pemimpin-pemimpin parti bahawa beliau menyalahguna kuasa berhubung pembelian hartanah.

Minggu lepas, bekas setiausaha Pemuda myPPP, Jayaselan Rajoo membuat dua laporan polis di Balai Polis Sentul, mendesak supaya satu siasatan dijalankan terhadap penyalahgunaan kuasa oleh Kayveas sebagai presiden parti berkaitan pembelian hartanah bernilai RM28 juta. – 19 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen