SEHINGGA kini, 19 anjing liar sudah dibunuh selepas satu kes penyakit anjing gila atau rabies dikesan di Perak.
Tindakan itu dilakukan di sekitar Kuala Sepetang, Taiping dimana seekor anjing yang dijangkiti virus itu mengigit dua orang kanak-kanak perempuan, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (VDS) Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.
“Operasi itu dan kempen kesedaran meliputi kunjungan rumah ke rumah di mana pegawai kami melawat 275 orang pemilik haiwan peliharaan di sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sampel daripada anjing liar itu juga sudah dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar, katanya.
Menteri Besar Perak Dr Zambry Abd Kadir mengisytiharkan daerah Matang, Larut dan Selama sebagai “kawasan jangkitan wabak anjing gila” berkuatkuasa semalam, selepas kematian anjing dijangkiti virus yang menggigit budak perempuan berkenaan.
Kanak-kanak perempuan itu berusia 12 dan 11 tahun pulih daripada kecederaan mereka tanpa menunjukkan simptom penyakit. Anjing itu mati sembilan hari selepas serangan.
Anjing itu menunjukkan simptom jangkitan virus termasuklah muntah, tidak berselera, demam dan kejang, lima hari selepas menggigit kanak-kanak perempuan itu.
Kematian keempat berlaku di Sarawak yang mengorbankan kanak-kanak berusia lima tahun akibat penyakit itu semalam.
Empat kematian itu ialah yang pertama di Malaysia sejak 20 tahun lepas.
Kematian terakhir yang diketahui akibat penyakit anjing gila di Malaysia berlaku pada 8 Januari 1998 apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal di Hospital Sungai Petani, Kedah.
Dia digigit anjing liar di luar rumahnya di Padang Lembu pada 29 Nov 1997 menurut arkib laporan berita.
Organisasi Dunia untuk Kesihatan Haiwan (OIE) mengisytiharkan Malaysia sebagai bebas wabak penyakit anjing gila pada 2012 sebelum wabak tercetus pada Julai 2015 di negeri utara Semenanjung.
Dalam tempoh tiga bulan, Perlis mencatatkan 22 kes manusia dijangkiti virus penyakit anjing gila, sementara Kedah mempunyai 18 kes dan Pulau Pinang mencatatkan empat kes menurut Jabatan Kesihatan.
Tiada kematian dicatatkan kerana pesakit dirawat sebelum simptom muncul. Wabak itu berakhir pada pertengahan bulan September tahun yang sama.
Kerajaan negeri membatalkan arahan pembunuhan besar-besaran anjing liar pada awal Oktober tahun itu selepas 4,500 anjing liar dibunuh. Tambahan itu, lebih 8,150 anjing lagi diberikan suntikan vaksin.
Di Sarawak, tiada anjing yang dibunuh setakat ini. Daripada 1 April sehingga semalam, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) menyuntik vaksin kepada 7,655 haiwan- 2,250 anjing, 5,424 kucing dan 26 haiwan lain. – 18 Julai, 2017.

Komen