Mesyuarat Kabinet diubah ke Jumaat


Yasmin Ramlan

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming berkata ini bagi menghormati persidangan Dewan Rakyat, namun mesyuarat mingguan itu akan kekal pada Rabu jika tiada persidangan Dewan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2018.

TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming mengesahkan mesyuarat Kabinet akan diubah ke hari Jumaat bagi menghormati persidangan Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, mesyuarat mingguan itu akan kekal pada Rabu jika tiada persidangan sesi Dewan Rakyat.

“Bermula minggu depan dan seterusnya dari hari Rabu, ubah ke Jumaat.

“Saya tak nak yang lain melalaikan tugas, tapi keutamaan harus diberikan kepada Parlimen,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Keputusan itu dibuat susulan barisan kerusi kerajaan dalam Dewan yang dilihat kosong semalam berikutan menghadiri mesyuarat Kabinet .

Nga berkata, beliau memahami tanggungjawab menteri yang mempunyai bebanan kerja namun keutamaan harus diberikan kepada sesi Dewan Rakyat.

Katanya lagi, jika seseorang menteri itu tidak dapat menghadiri sesi Dewan atas sebab yang tidak dapat dielakkan, menteri berkenaan perlulah menghantar timbalan menteri sebagai wakil.

“Jika menteri tak dapat hadir, maka wajar hantar timbalan menteri untuk hadir memandangkan Parlimen ialah institusi cukup penting dan setiap dasar dan jawapan rasmi harus, wajib dijawab di Parlimen,” katanya.

Kekosongan kerusi menteri Pakatan Harapan semalam ketika sesi perbahasan titah diRaja turut menyebabkan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyarankan agar kerajaan mengubah mesyuarat Kabinet kepada hari Jumaat dan bukannya Rabu kerana ia mengganggu perjalanan Parlimen.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya akan mempertimbangkan cadangan untuk mengubah mesyuarat Kabinet kepada hari Jumaat. – 19 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen