POLIS Pulau Pinang berkata 99% premis aktiviti perjudian di negeri itu ditutup berikutan operasi yang dijalankan polis beberapa bulan sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Chuah Ghee Lye berkata sejak Januari tahun ini sebanyak 215 serbuan dijalankan dengan 268 orang pekerja pusat judi dan 384 pelanggan ditahan,” kata Chuah.
Polis turut merampas 448 buah mesin simulator, 633 mesin slot, empat telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM80,996.
Chuah berkata, 25 premis judi haram dikesan pihak berkuasa dan tindakan diambil dengan memotong bekalan elektrik ke premis terbabit.
Polis katanya turut menghantar 62 surat kepada pihak berkuasa tempatan untuk menarik balik lesen hiburan kepada operator yang melanggar peraturan permit dan menjalankan kegiatan perjudian di premis mereka.
“Langkah itu memaksa operator pusat judi ini menghentikan aktiviti mereka. Kita turut menjalankan pemeriksaan bulanan dan serbuan bagi memastikan mereka tidak beroperasi semula.
“Kita percaya ada di antara mereka beroperasi secara sembunyi, tapi apa yang boleh dikatakan adalah 99% aktiviti mesin judi haram ini dihentikan,” katanya.
Polis Pulau Pinang turut menjalankan dua operasi berasingan terhadap perjudian haram membabitkan judi online dan mesin judi – satu pada Mac tahun ini dan satu lagi pada 25 Mei hingga kini.
Bulan lalu, timbalan perdana menteri yang juga menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan polis Pulau Pinang mengekang perjudian haram di negeri utara.
Zahid berkata perjudian merupakan masalah terbesar di Pulau Pinang, dan beliau bimbang dalang di sebalik kegiatan itu memberi sumbangan kepada parti politik pada pilihan raya umum akan datang.
Di Melaka baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sembilan pegawai kanan polis kerana didakwa terbabit mengutip wang daripada pemilik pusat judi. Selepas tindakan SPRM itu, ramai pengendali pusat judi melarikan diri.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan timbalan presiden MCA, Dr Wee Ka Siong saling menuding jari di media berhubung kegiatan perjudian haram di negeri itu.
Wee menuduh Pulau Pinang dan Selangor, namun Lim menyangkal dakwaan judi haram adalah masalah di negeri Pakatan Harapan.
Chuah berkata polis akan meneruskan operasi membanteras kegiatan judi haram sehingga ia benar-benar dihentikan
“Kami juga berharap agar masyarakat dapat memberi kerjasama kepada polis dengan melaporkan sebarang kegiatan perjudian haram ini,” katanya. – 18 Julai, 2017.
Komen