KESELURUHAN projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura akan dikaji semula pada akhir bulan ini, kata Mohamed Azmin Ali.
Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata beliau akan merunding semula semua perkara melibatkan kos HSR dalam lawatannya ke Singapura bulan ini.
“Semua. Kita akan lihat dan semak semula semua terma dan syarat dalam perjanjian. Keseluruhan projek akan perlu dikaji semula,” kata Azmin ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
“PM (perdana menteri) sudah jelaskan hari ini, yang ini bukan nak batalkan projek. Kita perlu kaji semula keseluruhan projek,” tambah Azmin, merujuk kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Terdahulu hari ini, Dr Mahathir berkata projek HSR mungkin ditangguhkan kerana Malaysia tidak mempunyai dana untuk membayarnya.
Perdana menteri berkata Malaysia tidak akan mampu membiayai projek tersebut walaupun kosnya berkurangan dengan ketara.
Tambah Azmin lagi, keutamaan Malaysia ialah mengurangkan hutang negara, bukan menjalankan projek bernilai berbilion ringgit.
“Keutamaan kita jelas. Kita nak kurangkan hutang yang sedang kita hadapi. Jadi jika projek ini dapat dilaksanakan kemudian, maka kita akan bincang. tetapi keutamaan kita sekarang ini ialah mengurangkan kos dan hutang kerajaan,” katanya.
Dr Mahathir juga berkata jika projek itu dibatalkan, Malaysia perlu membayar ganti rugi besar kepada Singapura dan ia bukanlah satu perkara yang ideal. – 19 Julai, 2018.
Komen