PEMBANGKANG memberi masa setahun sehingga September 2019 kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan harga barang dan kos sara hidup rakyat turun sebagaimana yang dijanjikannya sebelum PRU14.
Ketua pembangkang, Ahmad Zahid Hamidi berkata tempoh setahun itu bermula selepas 1 September iaitu apabila SST dilaksanakan.
Beliau berkata pihak pembangkang akan memantau untuk memastikan sejauh mana pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dapat meringankan beban rakyat.
“Saya mahu lihat penurunan pendapatan (kerajaan) ini dan kononnya mahu dipindahkan untuk beri keuntungan dan kos sara hidup kepada rakyat.
“Kita beri tempoh 100 hari. Lepas tu kita beri setahun – selepas 1 September adakah harga barangan dan kos sara hidup turun dengan pengenalan semula cukai SST,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Salah satu daripada 10 janji PH dalam manifestonya menjanjikan agar GST yang dikatakan menyebabkan harga barangan meningkat akan digantikan dengan SST.
GST dilaksanakan pada tiga tahun lalu.
Zahid turut mengkritik pengenalan semula SST dengan mengatakan ia hanya dilakukan oleh negara-negara mundur.
“Biarpun GST diletakkan pada kadar zero rated, tak ada harga barangan yang turun… begitu juga harga petrol kata nak diturunkan, akhirnya harga petrol kena ikut harga pasaran.
“Saya fikir kalau tak boleh berjanji, jangan janji kalau tak ditepati. Itulah sifat kemunafikan yang saya sebutkan tadi. Dan hal inilah yg sedang dihadapi oleh rakyat ialah kesusahan,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut membandingkan manifesto BN sebelum ini yang dikatakan mencapai 99.6% daripada parti tersebut janjikan.
BN bagaimanapun, mengalami kekalahan mengejut selepas pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.
“Oleh kerana blok pembangkang adalah kumpulan yang melakukan check and balance. Tentunya kita akan lakukan pemantauan kerana itu janji mereka kepada rakyat,” katanya. – 19 Julai, 2018.
Komen