Kesan SST separuh ringan berbanding GST, kata menteri


Yasmin Ramlan

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata walaupun GST dianggap lebih telus dan efisien tetapi memihak kepada kerajaan kerana dapat kutip cukai yang lebih, katanya di Parlimen hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 19 Julai, 2018.

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng mengakui rakyat mungkin akan terkesan dengan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST), namun menjelaskan kesannya separuh lebih ringan berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Lim berkata SST ialah cukai seperingkat atau “single-stage tax” yang secara amnya dikenakan ke atas pengilang dan bukannya pengguna.

Sebaliknya, GST cukai pelbagai peringkat, ataupun “multi-stage tax” yang terpaksa dibayar dan dikutip pada setiap peringkat rantaian bekalan atau “supply chain”.

“Misalnya, jika patung beruang dijual oleh pengilang kepada pemborong kepada pengedar kepada peruncit dan akhirnya kepada pengguna, GST akan dikenakan pada setiap peringkat.

“Sebaliknya, SST hanya akan dikenakan ke atas pihak pengilang saja,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata meskipun GST dengan kadar 6% itu lebih telus dan berkesan tetapi ia sebenarnya memihak kepada kerajaan terdahulu yang dipimpin Barisan Nasional bukannya rakyat.

“Sungguhpun GST dianggap lebih telus dan efisien tetapi memihak kepada kerajaan kerana dapat kutip cukai yang lebih.

“Tetapi keprihatinan kita ialah rakyat biasa, kalau ketelusan ini memihak kepada kerajaan tapi merugikan rakyat kita bukanlah kerajaan yang berjiwa rakyat.

“Tumpuan kita mengurangkan dan meringankan beban rakyat sebab itu kita pindah balik kepada SST agar kos sara hidup rakyat dikurangkan,”  kata Lim.

Pada masa sama, beliau menyenaraikan kategori barangan yang tidak terkesan dengan SST antaranya bingkai cermin mata, motosikal bawah 250cc, susu formula bayi, sardin, fi doktor di hospital swasta, tiket wayang dan taman tema, insurans kesihatan untuk individu, servis penyelenggaraan serta fi transaksi perbankan. – 19 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen