HSR tidak batal tetapi ditangguhkan, kata Dr Mahathir


Kamles Kumar

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak akan mampu membiayai projek HSR walaupun kosnya sudah dikurangkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2018.

PROJEK kereta api berkelajuan tinggi (HSR) mungkin ditangguhkan kerana Malaysia tidak mempunyai dana untuk membayarnya, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata Malaysia tidak akan mampu membiayai projek tersebut walaupun kosnya berkurangan dengan ketara.

“Pada masa ini, kita melihat keadaan kewangan negara. Kami fikir kami tidak dapat meneruskannya, tetapi kami mengkajinya… mengkaji implikasi secara unilateral terhadap kontrak dan kosnya.

“Kita memutuskan perlu melakukannya kemudian atau kita mungkin perlu mengurangkan harganya. Pengurangan harga sangat sukar setakat ini. Ia perlu ditangguhkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dr Mahathir menambah jika projek itu dibatalkan, Malaysia perlu membayar ganti rugi besar kepada Singapura dan ia bukanlah satu perkara yang ideal.

“Kita perlu membayar pampasan yang tinggi. Kita tidak boleh mengatakan tidak akan membina HSR tetapi buat masa sekarang, kita tidak mempunyai dana. Kita perlu menangguhkannya.”

Pengerusi Pakatan Harapan itu menambah beliau sudah mengarahkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali memaklumkan kepada Singapura secara rasmi mengenai pendirian Malaysia. – 19 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen