AHLI perniagaan Malaysia yang hidup dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low masih lagi bebas dan tidak dapat dipastikan berada di mana, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
Fuzi berkata setakat ini tidak ada maklumat yang cukup mengenai kedudukan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu, yang diketahui sering berpindah dari negara ke negara.
“Lokasi sebenarnya tidak jelas. Kita masih menjejaki beliau. Kita percaya beliau bergerak antara China, Taiwan, Hong Kong dan Macau,” katanya kepada wartawan hari ini.
Fuzi mengulas laporan laman web Sarawak Report yang mendakwa sebuah stesen radio di Hong Kong hari ini melaporkan Low sudah ditangkap di China. Sarawak Report tidak menamakan stesen radio berkenaan.
Polis Singapura minggu lalu mendedahkan pernah pada 2016 meminta Hong Kong menangkap Jho Low, yang juga dikehendaki di repiublik itu, namun tidak diendahkan oleh pihak berkuasa wilayah autonomi berkenaan. Permohonan itu dibuat mengikut perjanjian serahan tahanan yang ada antara Singapura dan Hong Kong.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang ditanya mengenai laporan itu juga berkata beliau tiada maklumat apakah ahli perniagaan berasal dari Pulau Pinang itu sudah ditangkap.
Katanya, beliau hanya dapat tahu perkembangan terbaru itu daripada media.
“Saya tak tahu. Terima kasih kerana beri maklumat. Saya harap dia ditangkap dan dibawa balik ke Malaysia,” katanya, ketika ditemui wartawan di Parlimen.
Dr Mahathir berkata setakat ini apa yang beliau tahu mengenai Jho Low ialah ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB itu “melompat dari satu tempat ke satu tempat.”
Perdana menteri turut menjelaskan Malaysia dan China tidak mempunyai perjanjian ekstradisi tetapi beliau yakin, sekiranya benar Jho Low ditahan di republik itu, pihak berkuasanya akan menyerahkan beliau pada Malaysia.
“Kita tidak ada perjanjian (ekstradisi) tetapi tidak bermakna China tidak boleh serahkan Jho Low kepada kita,” katanya.
Jho Low baru-baru ini dilaporkan berada di Macau dan melarikan diri ke China sebelum sempat pegawai polis Malaysia tiba di pulau pusat judi itu. Pihak berkuasa di China bagaimanapun kemudian menafikan Jho Low masuk ke negara mereka.
South China Morning Post minggu lepas melaporkan pihak berkuasa di China gagal mengesan Jho Low yang didakwa tinggal di sebuah hotel di republik itu manakala nombor telefon yang dikatakan dipakai olehnya dikesan milik seorang petani di utara China.
Akhbar di Hong Kong itu juga melaporkan pihak berkuasa China sudah beberapa kali menjalankan operasi mengesan Jho Low atas permintaan Putrajaya.
Selain dikehendaki di Malaysia dan Singapura, Jho Low turut dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) sebagai dalang penyelewengan wang daripada dana 1MDB yang kemudiannya dibelanjakan di negara itu.
Sebulan lalu, Jabatan Imigresen Malaysia membatalkan pasport Jho Low dan beliau kini dipercayai bergerak menggunakan dokumen perjalanan negara lain.
Tahun lalu, Jho Low dilaporkan memiliki pasport St Kitts & Nevis, sebuah negara pulau di Kepulauan Caribbean yang juga sebahagian daripada Komanwel. – 19 Julai, 2018.
Komen