EMPAT rakyat Malaysia dan tiga warga Indonesia ditahan di beberapa negeri di Malaysia bulan ini kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS), kata Mohamad Fuzi Harun.
Dalam satu kenyataan hari ini, ketua polis negara berkata operasi berkenaan yang diadakan antara 12 dan 17 Julai, membawa kepada penahanan beberapa individu lelaki dan wanita berkenaan di Terengganu, Selangor, Perak dan Johor.
“Kami menahan tujuh individu, lelaki dan wanita dari Malaysia dan Indonesia, kerana disyaki ada kaitan dengan keganasan,” kata Fuzi dalam kenyataan itu.
“Seorang lelaki tempatan ditahan kerana mengugut untuk membunuh Yang di-Pertuan Agong, perdana menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru dilantik, Dr Mujahid Yusof Rawa,” katanya.
Fuzi berkata seorang lelaki Indonesia yang ditahan ialah ahli Negara Islam Indonesia (NII) yang ada pengalaman berperang.
Dua lagi warga Indonesia memiliki bahan berkaitan IS, dan salah seorang daripadanya ada kaitan dengan satu lagi kumpulan pengganas – Jamaah Ansharut Daulah, yang terbabit dalam pembunuhan pegawai polis di Jawa Barat pada Mei.
“Tiga lelaki warga asing itu ditahan di Terengganu, Selangor dan Perak,” katanya.
“Lelaki pertama ialah ahli NII, dan menjalani latihan senjata di Bandung. Dia bersumpah setia dengan kumpulan itu dan merancang untuk ke Syria.
“Lelaki kedua ditahan di Selangor, mempunyai lebih 100 video dan 90 gambar IS. Dia mempromosikan kumpulan itu di akaun media sosialnya, dan bercadang ke Syria.
“Lelaki ketiga ditahan di Perak, mengaku menjadi sebahagian kumpulan pengganas yang membunuh pegawai polis di Jawa Barat.”
Sepasang lelaki dan perempuan rakyat Malaysia ditahan di Johor, memberi sokongan kewangan kepada ahli IS tempatan di Syria.
Lelaki berusia 42 tahun dan wanita berusia 24 tahun memasukkan wang RM4,000 kepada Mohammad Nasrullah Latif, juga dikenali sebagai Abu Gomez.
Suspek lelaki itu juga berhubung dengan Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, antara anggota penting IS, yang meninggal dunia tahun lalu.
“Lelaki itu mengugut untuk mengulangi serangan kelab malam Movida. Dia ada berhubung dengan Wanndy, yang juga dalang serangan itu.
“Mereka sering berkomunikasi sebelum Wanndy terbunuh.
“Wanita itu dipercayai pasangannya. Dia ditahan kerana membiayai Abu Gomez, yang maut di Syria baru-baru ini.”
Penahanan terakhir di Masai, Johor, ialah seorang lelaki berusia 21 tahun yang mengaku menyokong pemimpin IS Abu Bakr Al-Baghdadi.
Dia juga ada rancangan untuk ke Syria.
Semua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas).
Sejak 2013, Unit Pencegahan Keganasan Cawangan Khas menahan lebih 300 rakyat tempatan dan warga asing yang menyokong IS. – 19 Julai, 2018.
Komen