SELEPAS menunaikan tanggungjawab sebagai penganut agama Kristian, John menanti saya di hadapan pagar. Saya lebih awal melihat kelibat John.
John seorang penganut Kristian yang baik. Beliau juga seorang yang aktif dalam aktiviti keagamaan.
Setiap Ahad, beliau akan hadir lebih awal untuk membersihkan persekitaran rumah ibadat. Sebagai seorang yang kuat dalam beragama, beliau sentiasa mengukuhkan kefahaman dan kepercayaan melalui pengajian kitab suci, Bible yang dibuat setiap Rabu dan Ahad.
Saya terus menuju ke arah John. Kami duduk dan bersembang tentang isu agama. Tidak lama kemudian, datang seseorang ke arah kami. Mungkin beliau juga baru sahaja selesai beribadat.
Saya bersalam dan menyambut mesra. Begitu juga dia sambil membalas senyuman. Dia memperkenalkan diri sebagai Martin dan seperti John, kerap kali pulang lewat untuk membersihkan halaman rumah ibadat.
Kami meneruskan perbincangan. Saya menyatakan hasrat untuk memanggil teman-teman Muslim hadir dan saling mengikuti kelas Bible. Selang kemudian, Martin yang kelihatan lebih tenang pada awalnya berubah sedikit menjadi resah.
Saya bertanya kepadanya, dia dilihat tidak senang duduk. Mungkin Martin kurang setuju cadangan saya. Akhirnya Martin memberitahu kepada saya bahawa dia berasa tidak selesa dengan hasrat saya walaupun secara sanubarinya sangat gembira.
Saya meneruskan perbualan.
Apakah yang menganggu fikiran Martin tentang perkara ini, tanya saya kepada beliau. Katanya, beliau menyambut dengan baik hasrat tersebut. Namun beliau bimbang dan tidak selamat untuk Muslim hadir jika tanpa sebarang keizinan dari mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
Sambung beliau, kerap kali pihak berkuasa melakukan rondaan di sekitar tempat itu. Tambah beliau lagi, risau jika pihak berkuasa mengesyaki ada beberapa kelompok Muslim yang hadir ke pengajian agama Kristian di situ.
Saya mengesani kebimbangan Martin. Beliau berseloroh lagi, saya takut kamu ditangkap gara-gara berada di sini.
Saya sekadar senyum. Cuma dalam fikiran terganggu, apakah hadir ke rumah ibadat dan mempelajari agama lain perlukan keizinan dan campur tangan pihak berkuasa?
Sedangkan situasi berbeza jika penganut selain Islam ingin melakukan sedemikian. Sudah tentu sikap eksklusif masih ada dalam situasi begini.
Trauma ketakutan beragama
Pemikiran seperti Martin bukanlah sebuah hal yang baru. Kerap kali saya menjumpai ketakutan ini. Malah ketakutan seperti ini masih kuat berlegar di tengah kehidupan masyarakat Melayu Muslim. Dalam hal ini, ia bukanlah kesilapan beliau. Malangnya beliau adalah mangsa kejumudan beragama.
Kebimbangan Martin adalah kesan corak yang sekian lama meracuni pemikiran keagamaan di Malaysia. Bukan sahaja Martin, sebahagian masyarakat Muslim masih lagi takut untuk belajar dan saling memahami perbezaan apatah lagi memahami lebih dalam tentang agama-agama yang lain.
Lebih dahsyat, menjadi trauma dari kesan pencerobohan kebebasan dan ancaman selepas ditinggalkan bertahun-tahun oleh regim lama. Perkara ini tidak mudah walaupun sudah beralih kepada pemerintah baharu.
Pada ketika ini, walaupun sudah beralih kepada rejim yang menjerit tentang retorika kebebasan, namun kesan kejumudan pemikiran keagamaan masa lampau masih menghantui budaya dalam beragama hari ini.
Jelas terpampang seseorang yang berbeza pengamalan budaya dan agama di tengah normalisasi masyarakat, masih lagi dikecam dan ditindas tentang hak kebebasan mereka dalam berkeyakinan.
Benarlah seperti diungkap oleh Jacques Waardenburg dalam buku “Muslim and Others”, budaya dan masyarakat sesuatu tempat itu dapat dinilai dengan cara bagaimana kelompok minoriti diperlakukan termasuklah dalam hal-hal memilih kepercayaan dan agama.
Perkara ini menjadi cabaran kepada semua kelompok termasuklah pemerintah dalam mendepani cabaran kepelbagaian dan pergaulan antara agama.
Sudah tentu, kita tidak mahu lagi mengulangi kejumudan yang melanda kaum muslimin. Namun trauma ini kekal ada.
Yang pasti, al-Quran bersikap kontradik dengan sikap yang ditunjukkan oleh sebahagian muslim hari ini.
Al-Quran mengajarkan kebebasan beragama dan bebas memilih kepercayaan seperti terungkap pada ayat “bagimu agamamamu dan bagiku agamaku” juga tafsiran ayat 256 Surah al-Baqarah tentang tiada paksaan dalam beragama.
Namun, perkara ini tidak akan muncul selagi sikap tirani dalam beragama mahupun politik pemaksaan tidak hilang, sebagai contoh dalam tafsiran ayat tersebut.
Pada makna “wa man yakfur bi ath-thagut” (barang siapa yang tidak percayakan Taghut) ditafsirkan sebagai pengingkaran terhadap Thagut terlebih dahulu barulah dia beriman kepada Allah.
Kesesatan thagut dimaknai seperti peristiwa Firaun yang menjadi sosok tirani dalam membudayakan politik dan keagamaan.
Oleh itu, meyakini kebebasan manusia adalah salah satu dasar akidah islam yang dianggap sebagai orang yang beriman kepada Allah.
Kekuasaan politik sering kali bermula dengan perkara akidah. Seperti Firaun, menjadikan kekuasaan keagamaan sebagai medan keistimewaan untuk mengukuhkan kezalimanan dan kedudukannya.
Selain itu, mendakwa memiliki kebenaran mutlak melalui pendekatan penjagaan kesucian agama melalui lembaga kekuasaan dengan mematikan pemikiran dan menakutkan manusia.
Kejumudan bermula dengan tirani agama
Sebagai umat yang satu, kita seharusnya menerima tentang kewujudan yang lain. Sebagai contoh menerima kelompok agama minoriti, kumpulan LGBT, juga aliran lain yang berbeza. Islam mengakui kepelbagaian. Setiap orang punya hak memilih keimanan dengan sepenuh kebebasan dan kehendaknya tanpa adanya paksaan.
Agama menganjurkan kerukunan hidup bersama di dalam satu negara tanpa harus menuduh seseorang tentang soal keimanan. Hal ini termaktub di dalam al-Quran pada ayat 94 Surah an-Nisa.
Ayat ini jelas mengajar kita untuk saling tidak menuduh orang lain tidak beriman dan terburu melontarkan bentuk kekufuran kepada yang lain.
Jika dalam peperangan sekalipun dilarang melakukan demikian kepada orang yang menganjur kedamaian, apatah lagi dalam keadaan luar perang.
Sulit untuk kita menghukum sesebuah keimanan atau kebenaran atas dasar menilai kepada hukum halal dan haram sahaja.
Kesulitan saat ini, memahami agama harus melangkau lebih daripada itu. Namun perkara ini tidak akan selesai selagi mana kebebasan dirampas.
Disebut oleh pemikir Islam, Muhammad Syahrur dalam bukunya Dirasat Islamiyyah Mua’sshirah bahawa upaya membebaskan masyarakat dari tirani agama tidak akan tercapai selagi tiada pengakuan terhadap yang lain seperti kebebasan berfikir, bersikap rasional dan punya keadilan sejagat.
Beliau menyebut masyarakat yang harmoni haruslah menerima pengakuan ego yang lain terhadap ego yang asli yang pada asalnya adalah sebuah kesatuan, kesamaan dari sudut kemanusiaan.
Nasib kelompok minoriti terus diperlakukan dengan buruk. Sebahagian kelompok Melayu Muslim masih terus menindas kelompok yang berbeza atas nama agama. Kekal sombong dalam mengurus perbezaan.
Fenomena sikap beragama yang lama masih diteruskan. Sebahagian lain menghidapi sakit trauma ketakutan untuk melakukan perubahan dalam pembaikan budaya dan agama. Sakit ini tidak terlepas seperti yang berlaku kepada Martin yang masih memiliki trauma ketakutan tanpa dia sedari.
Begitulah kuatnya ledakan kejumudan dalam keagamaan hingga mengundang sikap trauma ini.
Kita sedang menuju kerajaan yang baharu, yang pastinya cuba untuk menghapuskan kezaliman lama ini.
Namun, bibit-bibit tirani agama seperti kebobrokan regim lama seolah-olah mengundang kembali. Kebimbangan ini harus kita sedari tanpa tidak mudah terpana dengan retorika kebebasan dan dialog dari kerajaan baru ini yang belum pasti meyakinkan.
Mengubat tirani keagamaan ini adalah langkah berhati-hati dari mengundang kekerasan dalam beragama dan sebaliknya menyuburkan dialog berdampingan kehidupan yang harmoni.
Baik, sekarang kita bertanya. Apakah masih punya harapan sikap beragama dalam Malaysia baru? – 19 Julai, 2018.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen