Firma pakar timbang tara wakili Malaysia kes 1MDB di Singapura


The Malaysian Insight

Kerajaan Malaysia melantik firma Singapura itu sebagai peguamnya dalam tindakan saman terhadap 53 individu dan syarikat bagi menuntut wang yang milik syarikat pelaburan negara 1MDB. – Gambar AFP, 19 Julai, 2018.

FIRMA guaman di Singapura yang diupah oleh Putrajaya untuk menuntut semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibekukan di republik itu dianggap pakar dalam bidang litigasi, timbang tara dan penyelesaian pertikaian.

Rakan kongsi firma itu, Chelva Retnam Rajah, disenaraikan oleh pengamal undang-undang sebagai penimbang tara antarabangsa yang paling laku dalam bidang penyelesaian pertikaian.

Beliau juga dianggap sebagai “tokoh kanan dalam bidang perundangan di Singapura”.

Seorang peguam kanan Singapura yang bercakap dengan syarat tidak dinamakan berkata, ada kemungkinan Chelva akan mengetuai pasukan yang mewakili Malaysia kerana pengalaman luasnya dalam bidang itu.

“Oleh sebab ini kes tumpuan ramai, kemungkinan rakan kongsi firma itu Chelva akan mengetuai peguam yang mewakili Malaysia,” katanya.

Chelva, yang pernah jadi pesuruhjaya tinggi Singapura ke Papua New Guinea pada 2008, sudah mengendalikan lebih 80 timbang tara tempatan dan antarabangsa.

Menurut Kamar Littleton, pejabat Chelva berkhidmat sebagai penimbang tara antarabangsa pada 2017, peguam kanan itu juga pernah bertugas sebagai pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Singapura.

Beliau juga pernah dilantik sebagai hakim di Mahkamah Sivil dan Dagang Pusat Kewangan Qatar pada 2012.

Kerajaan Malaysia melantik firma itu sebagai peguamnya dalam tindakan saman terhadap 53 individu dan syarikat bagi menuntut wang yang milik syarikat pelaburan kerajaan 1MDB.

Peguam Negara Tommy Thomas meluluskan pelantikan firma guaman, Tan Rajah & Cheah, awal minggu ini, kata sumber seperti dipetik agensi berita Bernama.

Antara 53 defendan itu ialah ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Perintah mahkamah adalah perlu untuk mengeluarkan wang itu kepada 1MDB atau kerajaan Malaysia,” kata sumber itu.

Malaysia melantik peguam cara daripada Singapura untuk memfailkan tindakan kerana peguam Malaysia tidak dibenarkan mewakili klien di mahkamah Singapura.

Pada 31 Mei, Pasukan Petugas Khas 1MDB, dalam satu kenyataan berkata, Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk bekerjasama dalam usaha membawa balik wang dipercayai telah diselewengkan daripada 1MDB. – 19 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen